Dua buruh positif dadah ditahan disyaki edar pil yaba, syabu

Dua individu ditahan bersama barangan yang dirampas disyaki dadah jenis pil yaba dan syabu ketika operasi di Jalan Besar Kampung Nyior, Paka, Dungun.
Dua individu ditahan bersama barangan yang dirampas disyaki dadah jenis pil yaba dan syabu ketika operasi di Jalan Besar Kampung Nyior, Paka, Dungun.
A
A
A

DUNGUN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan dua individu, termasuk seorang wanita, dalam satu operasi berkaitan dadah di Kampung Nyior, di sini, pada Selasa.

Tangkapan dilakukan kira-kira jam 3.10 petang selepas sepasukan anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menahan sebuah kereta Perodua Axia di hadapan sebuah rumah di Jalan Besar Kampung Nyior, Paka.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dua paket plastik biru berisi pil merah dan hijau disyaki dadah jenis pil yaba seberat 59.56 gram serta satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki syabu seberat 0.79 gram.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,553.90.

“Suspek lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh didapati positif methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya sejak 2010.

“Suspek wanita berusia 30 tahun yang juga bekerja sebagai buruh turut didapati positif methamphetamine serta mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah sejak 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan bertujuan untuk pengedaran.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, selain Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Dalam pada itu, Maizura menasihatkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta aktiviti jenayah supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tidak sihat ini daripada terus berleluasa.

“Perangi dadah habis-habisan adalah tanggungjawab kita bersama. Tiada hari tanpa tangkapan dadah, ‘Dungun Bebas Dadah’,” katanya.

Ringkasan AI

  • JSJN menahan dua individu termasuk seorang wanita dalam operasi di Kampung Nyior, Dungun
  • Tangkapan berlaku selepas pemeriksaan sebuah kereta Perodua Axia yang mengandungi pil yaba dan syabu
  • Nilai rampasan dadah dianggarkan RM4,553.90
  • Suspek lelaki berumur 39 tahun dan wanita berumur 30 tahun kedua-duanya didapati positif methamphetamine
  • Kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!