Manchester United tidak bernasib baik di Elland Road

Penyerang Leeds United, Patrick Bamford (tengah) cuba melepasi kawalan ketat pertahanan Manchester United, Harry Maguire semasa aksi liga di Elland Road.
Penyerang Leeds United, Patrick Bamford (tengah) cuba melepasi kawalan ketat pertahanan Manchester United, Harry Maguire semasa aksi liga di Elland Road.
A
A
A

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menganggap The Red Devils tidak bernasib baik selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Solskjaer berkata, anak-anak buahnya telah mempamerkan prestasi yang dominan sepanjang pertembungan di Elland Road itu, namun terpaksa akur pulang dengan satu mata.

"Saya berasakan kami bermain dengan sangat baik. Kami benar-benar tidak memberikan peluang kepada pasukan lawan, cuma kami tidak dapat melakukan sentuhan terbaik untuk melakukan percubaan.

"Tentu sekali kami kecewa kerana tidak mendapat tiga mata. Tetapi saya tetap berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan setiap pemain dalam memburu kemenangan hari ini.

"Kadang-kadang inilah yang terjadi dalam bola sepak. Berjaya menguasai perlawanan tidak bermakna anda akan keluar sebagai pemenang. Itu yang terjadi kepada kami pada perlawanan ini," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan United gagal meneruskan rentak kemenangan dalam lima aksi liga berturut-turut sebelum ini selain membuka peluang kepada Manchester City bergelar juara lebih awal.

Atas kertas, City bakal mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka musim ini jika meraih kemenangan ke atas Crystal Palace manakala United tumpas kepada Liverpool di Old Trafford hujung minggu ini.

"Saya sedar keputusan seri ini membuka peluang lebih besar kepada Manchester City bergelar juara liga lebih awal. Tetapi kami akan terus memberikan saingan kepada mereka sehingga penghujung musim," jelasnya.

Artikel Berkaitan: