X

Kindly register in order to view this article
!

Tangguh kemasukan vaksin CanSino, belum dapat kelulusan NPRA

Khairy Jamaluddin (dua, kiri) bertanya khabar kepada warga emas yang hadir ke PPV Stadium Sultan Abdul Halim untuk menerima suntikan vaksin.
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan menangguhkan kemasukan vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China berikutan belum mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, NPRA masih membuat penilaian terhadap vaksin terbabit.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, sekiranya vaksin CanSino diluluskan, negara akan meneruskan perancangan sebelum ini untuk membekalkan vaksin berkenaan ke kawasan pedalaman khususnya Sabah dan Sarawak.

“Selagi belum memperoleh pendaftaran NPRA. Kita belum boleh membawa masuk vaksin ini. Sarawak ada mohon untuk beli vaksin ini, kalau lulus NPRA kita akan bekalkan CanSino kepada negeri itu kerana ia dos tunggal dan sesuai untuk kawasan pedalaman,” katanya selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti pada Isnin.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan negara akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China secara berperingkat bermula April.

Menurut beliau, perolehan vaksin itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan, Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia akan terima 3.5 juta dos vaksin Covid-19 CanSino dari China

Sasaran vaksin CanSino ialah untuk kawasan pedalaman dan kawasan membabitkan penerima yang sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Mengulas sama ada vaksin AstraZeneca akan dibuat penambahan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bergantung kepada jadual penghantaran oleh pembekal.

“Kita masih menunggu pengesahan sama ada perlu tambah bekalan atau sebaliknya,” katanya.

Kerajaan bersetuju menggunakan vaksin AstraZeneca kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebanyak 282,000 dos sudah tiba ke negara ini dan ia melengkapi vaksin-vaksin sedia ada.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!