Guna RM5 bilion dana KWAN beli vaksin wajar: Tengku Zafrul

 Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan dana RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin wajar. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana yang digunakan hanya melibatkan sebahagian daripada pulangan pelaburan terkumpul KWAN.

"Setakat 31 Disember 2020, dana KWAN berjumlah RM19.5 bilion merangkumi sumbangan Petronas RM10.4 bilion dan pulangan pelaburan terkumpul RM9.1 bilion," katanya pada sidang akhbar khas di kementeriannya pada Isnin.

Beliau berkata, penubuhan KWAN bertujuan memastikan penggunaan hasil sumber asli negara digunakan dengan optimum untuk faedah negara dan generasi akan datang.

"Siapa generasi akan datang?

Kitalah generasi masa depan yang dimaksudkan dalam penubuhan KWAN.

Kalau kita tidak boleh guna dana KWAN, sampai bila-bila pun, generasi akan datang tidak boleh menggunakannya," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari permulaan kuatkuasa Akta digunakan iaitu 1988.

"Ia juga boleh digunakan bagi tujuan membiayai pinjaman mudah kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pindaan Akta KWAN yang diluluskan April melalui Ordinan Darurat bagi membolehkan pemerolehan vaksin Covid-19.

"Jadi sekarang anggaran RM5 bilion untuk perolehan vaksin dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawah undang-undang," katanya.

Menurutnya, dana RM42 juta KWAN pernah digunakan sebelum ini buat pertama kalinya untuk projek Paya Indah Wetland.

"Sekarang kita berada dalam situasi darurat, tidak tahulah dana projek Paya Indah Wetland ketika itu untuk kecemasan atau tidak," sinisnya.

Menjawab persoalan keperluan penggunaan dana KWAN, Tengku Zafrul berkata, negara dibelenggu legasi hutang tidak produktif lebih RM1 trilion.

"Ia termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembiayaan secara off budget (PFI) untuk perbelanjaan off balance sheet.

"Sebagai contoh, obligasi 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk membayar kos vaksin lapan kali ganda," katanya. Menurutnya, vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan objektif penubuhan KWAN untuk melindungi generasi masa depan. "Tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, pemulihan jangka pendek dengan kelestarian jangka panjang perlu diimbangi.

"Kesejahteraan rakyat merupakan tumpuan utama kerajaan namun kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad," katanya.

Tambah Tengku Zafrul, krisis yang dihadapi negara ketika ini bukan krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008. "Ini adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak," katanya.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan yang memberi kesan kepada ekonomi, ekosistem perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

"Untuk melindungi rakyat dan perniagaan, kerajaan sudah mengumumkan pakej rangsangan dan bantuan berjumlah RM340 bilion dengan suntikan fiskal RM65 bilion," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tak patut guna dana KWAN’