Tempahan baju raya merosot

Gambar kecil: Leela
Gambar kecil: Leela
A
A
A

SEREMBAN - Tukang jahit di sini mengakui permintaan terhadap tempahan baju raya pada tahun ini merosot hampir 90 peratus berbanding tahun lalu.

M Leela berkata, pada tahun ini dia hanya menerima tempahan baju raya kurang daripada 10 pasang.

Menurutnya, berbeza dengan tahun lalu walaupun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, namun tempahan baju yang diterima agak memberangsangkan.

"Tahun lalu, saya terima banyak tempahan baju raya dan boleh mencecah sehingga RM2,000 pada musim perayaan, tetapi pada tahun ini sangat kurang.

"Saya pun hairan kenapa tahun ini sangat kurang dan tempahan baju Melayu langsung tiada. Mungkin disebabkan ramai yang membeli baju secara dalam talian.

"Kalau ada pun yang tempah, kebanyakan cikgu sekolah yang memang hari-hari pakai baju kurung," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Leela berkata, meski pun tempahan baju raya berkurang, tetapi dia tetap bersyukur kerana masih ada yang datang menempah baju perkahwinan.

"Kebanyakan baju perkahwinan yang diterima melibatkan masyarakat kaum India yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mei ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sarimah Mohd Jumaro, 38, dari Felda Raja Alias, berkata, sejak pandemik ini tempahannya juga merosot dan sedikit sebanyak menjejaskan pendapatannya.

"Tempahan raya tahun ini berkurangan hampir 70 peratus, sebelum ini saya menerima tempahan sekitar 450 pasang tetapi pada tahun ini dalam 150 hingga 200 sahaja.

"Begitu juga pada hujung tahun 2019, kalau dulu saya menerima berpuluh-puluh pasang tempahan baju sekolah, namun sekarang 10 pasang baju pun agak susah, agaknya kerana ramai tidak bersekolah sebelum ini," katanya.