Kisah Sam si tukang jahit denim

Zaki yang lebih mesra dengan panggilan Sam menunjukkan jean denim yang dijahit berharga lebih RM3,000.
Zaki yang lebih mesra dengan panggilan Sam menunjukkan jean denim yang dijahit berharga lebih RM3,000.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerjaya membaiki pakaian denim mungkin dianggap remeh, namun ramai tidak tahu bahawa tukang jahit dalam bidang itu popular dan bereputasi tinggi di luar negara.

Bekas jurutera elektrik di sebuah syarikat minyak dan gas berjaya membuktikan ke-bolehannya selepas mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan kerjaya sebagai tukang jahit membaiki pakaian berasaskan denim.

Zaki Ismail, 38, atau lebih dikenali sebagai Sam berkata, dia mula terlibat membaiki denim pada 1999 ketika masih belajar di sebuah sekolah agama di Kelantan.

“Kerjaya ini bermula pada awal 2000 apabila pakaian terpakai dari luar negara mula popular di Kelantan, malangnya pakaian berasaskan denim tidak sepadan dan sukar dibaiki.

“Jadi, saya nekad menjahit. Pada mulanya hanya baiki pakaian sendiri sebelum ambil upah daripada rakan-rakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Sam bersyukur apabila jiran sekampungnya di Machang yang dipanggil sebagai Rizal berkongsi ilmu menjahit material daripada denim.

“Rizal merupakan bekas tukang jahit denim jenama terkenal Levis di sebuah kilang di Pulau Pinang.

“Pada awal tahun 2015, saya mula belajar menjahit bucket hat dan boonie hat yang boleh dijual pada harga lebih RM200. Ia mendapat sambutan daripada pelanggan di Thailand,” katanya.

Menurut Sam, pemilihan benang penting bagi membolehkan jahitan lebih kemas dan sesuai dengan ira kain denim, selain untuk kepuasan pelanggan.

Justeru, katanya, ada benang yang perlu diimport dari beberapa negara termasuk Jepun, Itali dan Indonesia.

Jelasnya lagi, harga benang untuk menjahit denim turut bergantung kepada jenis dan boleh mencecah ratusan ringgit.

“Biasanya membaiki seluar vintaj sekitar tahun 1800 atau 1900 memerlukan benang yang lebih mahal dan diimport.

“Saya terpaksa cari penjual di negara berkenaan kerana tak dapat membeli dalam kuantiti yang banyak dari kilang,” katanya.

Tambah Sam, beberapa kilang lama yang menjahit pakaian daripada denim mempunyai lebihan benang dan ia dijual semula.

“Disebabkan bekalan benang sukar didapati, saya perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun,” katanya.

Sam kini bersedia membuka sebuah kilang menjahit pakaian daripada denim dan bercita-cita memiliki jenama sendiri.

Menurut Sam, ketika awal negara diserang pandemik Covid-19, beberapa jenama tempatan mula dikenali di negara ini dan mendapat sambutan menggalakkan.

Sebagai bekas jurutera elektrik, Sam bukan sahaja mampu membaiki mesin jahit, malah mempunyai mesin jahit berusia lebih 30 tahun yang diimport dari Arizona, Amerika Syarikat.

“Selama tujuh tahun menjadi tukang jahit memberi peluang saya menjelajah di 21 negara di dunia dan bertemu tukang jahit denim, selain berpeluang melihat mesin jahit yang mereka gunakan,” katanya.

Menurutnya, di Eropah dan Jepun, kerjaya sebagai tukang jahit mempunyai reputasi tinggi serta sangat disegani.

“Ramai anak muda yang berminat dengan kerja seni seperti jahitan tetapi mereka mudah berputus asa.

“Martabat tukang jahit sebenarnya tinggi dan mereka dihargai, cuma cara ‘persembahan’ yang lebih baik dan luar biasa,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Damanhuri Che Kamarudin, 33, menghasilkan jahitan berkualiti kerana kepakarannya dalam pelbagai jenis kain denim.

Damanhuri menimba ilmu menjahit jean sejak zaman sekolah.
Damanhuri menimba ilmu menjahit jean sejak zaman sekolah.

Menurut Damanhuri, pada mulanya dia sukar mencari fesyen yang sesuai dengan kehendaknya menyebabkan dia belajar bagi tujuan tersebut.

“Saya mahu mencari pelbagai jenis stail yang diingini termasuk vintaj, moden dan lama.

“Ketika belajar di sekolah menengah, saya mula menuntut ilmu dengan tukang jahit mahir di sekitar daerah ini.

Bapa kepada lima anak itu mula mengambil tempahan sejak 2010 selepas menamatkan kursus intensif selama enam bulan di Giat Mara Rantau Panjang.

“Antara pakaian yang dijahit ialah seluar, baju Melayu dan beberapa jenis pakaian lain,” katanya.