Peniaga dakwa pemborong tidak patuh garis panduan harga

Mohd Nurkhuzaini (dua dari kanan) membuat tinjauan sempena pelancaran SHMMP 2021 di Pasar Payang, Kuala Terengganu pada Ahad.
Mohd Nurkhuzaini (dua dari kanan) membuat tinjauan sempena pelancaran SHMMP 2021 di Pasar Payang, Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa peniaga mendakwa terdapat pemborong ayam dan ikan yang tidak mengikut garis panduan harga berdasarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 sehingga menyebabkan keuntungan mereka peroleh adalah kecil.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, masalah itu dikesan sejak penguatkuasaan SHMMP bermula pada Rabu lalu.

Beliau sehubungan itu berkata, siasatan dan penguatkuasaan lebih serius akan dilakukan ke atas pemborong bagi memastikan perkara itu dapat dihentikan, seterusnya tidak memberikan tekanan kepada peniaga terutama peniaga kecil.

"Hasil tinjauan mendapati kebanyakan peruncit masih mematuhi harga maksimum ditetapkan walaupun terpaksa menerima margin keuntungan yang amat kecil.

"Misalnya harga maksimum ayam standard yang ditetapkan bagi pemborong ialah RM7.10 sekilogram. Namun apabila ditolak kepada peniaga, ia dijual sehingga RM7.50 sekilogram. Malah ada juga yang mencecah RM7.80 sedangkan harga maksimum jualan runcit ialah RM7.90 sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan (SHMMP) 2021 di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, semakan semula terhadap harga jualan pemborong perlu dilakukan segera supaya isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Selain ayam, katanya, terdapat juga pemborong bagi beberapa jenis ikan yang dikesan melakukan perkara sama.

Artikel Berkaitan:

"Harga bagi sekilogram ikan kembung yang sepatutnya dijual peruncit ialah RM15, namun harga itulah yang mereka peroleh daripada pemborong.

"Begitu juga dengan ikan tongkol. Harga maksimum yang mereka dapat daripada pemborong RM10 sedangkan ia adalah harga maksimum jualan peruncit. Mahu tidak mahu mereka terpaksa akur walaupun dalam keadaan tertekan," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Norhasanah Zahari, 31, berkata, pertama kali beliau berdepan dengan tekanan harga tinggi oleh pemborong sejak 10 tahun berniaga di Pasar Payang.

"Harga ayam standard yang sepatutnya diterima daripada pemborong ialah RM7.10 sekilogram, namun harga yang diperoleh sejak SHMMP ialah RM7.80 sekilogram. Harga runcit maksimum yang kita terpaksa jual ialah RM7.90.

"Macamana kami mahu jual pada harga yang rendah, dalam masa sama terpaksa juga kekal dengan harga RM7.90 bagi mematuhi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan," katanya.