'Senda jenayah rogol satu perkara serius'

Fadhlina Siddiq
Fadhlina Siddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengambil perhatian serius terhadap dakwaan seorang guru lelaki di sebuah sekolah mempersenda jenayah rogol dan maruah wanita semasa sesi kelas bagi membincangkan isu gangguan seksual.

Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Siddiq berkata, dakwaan seorang pelajar berhubung perkara itu merupakan perkara yang serius kerana melibatkan isu moral.

"Ia melibatkan warga pendidik yang sepatutnya memberikan advokasi dan maklumat tepat tentang isu gangguan seksual. Mempersendakan jenayah rogol dan maruah wanita adalah bentuk jenayah gangguan seksual yang nyata serta melibatkan isu moral.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab warga pendidik tersebut adalah dakwaan serius dan memerlukan siasatan menyeluruh kerana dibimbangi budaya 'rape culture' akan menular dan menjadi normalisasi dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Fadhlina turut menggesa Menteri Pendidikan, Senator Datuk Seri Dr Mohd Radzi Dr Jidin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk melakukan tindakan tegas susulan perkara tersebut.

"Dengan tahap keseriusan kes-kes gangguan seksual berlaku dalam masyarakat, mengapa terus berlaku kelewatan dalam pembentangan Rang Undang Undang (RUU) Akta Gangguan Seksual di Parlimen? Bentang RUU Akta Gangguan Seksual di Parlimen atau undur diri dengan bermaruah," katanya.

Dalam masa sama, Fadhlina turut memuji keberanian pelajar perempuan terbabit untuk mempertahankan maruah wanita dan tegas menolak budaya rogol serta lawak lucah.

Pada Sabtu, seorang pelajar berusia 17 tahun menerusi video TikTok mendedahkan kata-kata tidak menyenangkan itu dibuat semasa pelajar membincangkan isu gangguan seksual dalam kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.

Artikel Berkaitan:

Pelajar di sebuah sekolah di Kuala Selangor itu juga berkongsi tangkap layar di Twitter mengenai aduannya kepada kaunselor sekolah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa guru galak perbuatan rogol

ARTIKEL BERKAITAN: KPM perlu siasat dakwaan guru galak perbuatan rogol: Wan Azizah