Peniaga rugi hampir RM20,000 ditipu Macau Scam

Pihak polis kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen kesedaran dibuat.
Pihak polis kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen kesedaran dibuat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga wanita kerugian hampir RM20,000 apabila diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai.

Penipuan itu bermula pada Rabu lalu apabila mangsa berusia 25 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai operasi cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada ibu pejabat di Cyberjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didaftarkan atas namanya disalahguna untuk perniagaan pembekal alat pejabat.

Beliau berkata, suspek mendakwa syarikat milik mangsa itu dikesan mempunyai tunggakan cukai berjumlah keseluruhan RM38,600 dalam tempoh 15 bulan.

"Dalam masa sama suspek dikatakan telah mengugut akan memasukkan mangsa ke dalam penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah cukai tertunggak sebelum meminta butiran akaun bank mangsa yang aktif.

"Disebabkan takut dengan ugutan suspek, mangsa tidak berfikir panjang dan memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya seperti diminta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

M Zambri berkata, pada Jumaat lalu, mangsa terfikir untuk membuat semakan terhadap akaun-akaun bank yang didedahkan butiran kepada suspek seperti diminta sebelum ini.

"Mangsa terkejut apabila mendapati berlakunya beberapa transaksi pengeluaran wang tunai sehingga mencecah hampir RM20,000 tanpa pengetahuannya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.