Dua NGO lapor polis ke atas Sanjeevan

Hamdan (kanan) bersama seorang lagi wakil Kramat menunjukkan salinan laporan polis di depan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hamdan (kanan) bersama seorang lagi wakil Kramat menunjukkan salinan laporan polis di depan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Negara, Sanjeevan Ramakrishnan atas dakwaan menggunakan gelaran kebesaran dari Istana Pahang walaupun ada bukti panggilan tersebut telah ditarik balik.

NGO berkenaan, Kramat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, manakala Gabungan NGO Lembah Klang membuat laporan polis di IPD Cheras pada Sabtu.

Ketua Aktivis Kramat, Hamdan Mohd Salleh berkata, laporan polis dibuat bagi mempertahankan institusi Raja-raja Melayu daripada terus dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Tindakan Sanjeevan perlu dilihat sebagai tidak jujur dan seolah-olah cuba menghina institusi Raja-raja Melayu sedangkan terdapat bukti gelaran kebesaran itu sudah ditarik balik oleh Istana Negara.

"Siasatan polis penting bagi mendapatkan kepastian kerana perbuatan itu boleh menjadi cubaan mengelirukan semua pihak dengan menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun secara terang dan jelas ianya sudah ditarik balik," katanya kepada media pada Ahad.

Selain menjadi Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, Sanjeevan juga merupakan pengerusi kepada sebuah NGO dipanggil Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch).

Sanjeevan turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila didakwa atas pertuduhan memeras ugut seorang anak bekas pesuruhjaya polis Sabah pada tahun 2014.

Beliau bagaimanapun dilepas dan dibebaskan tanpa memanggil membela diri selepas mahkamah majistret mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti) juga telah membuat laporan polis terhadap Sanjeevan atas dakwaan terus menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun ditarik balik oleh kerajaan Pahang.

Pengerusi Pembakti, Mohd Zulkifli Abdul Fatah turut mempersoalkan bagaimana individu seperti Sanjeevan yang pernah membayar denda RM7,000, hilang kelayakan bertanding pilihan raya masih memegang jawatan dalam parti politik dan NGO.

Sementara itu, Ketua Gabungan NGO Lembah Klang, Faizan Mohd Nor pula berkata, hal ini adalah sesuatu perkara yang serius kerana melibatkan nama baik pihak istana dan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan-Sultan Melayu bukan sesuatu yang boleh dipermainkan.

"Justeru, kami membuat laporan polis ke atas Sanjeevan kerana kami mahu polis siasat jika benar beliau menggunakan gelaran dari Istana Pahang yang telah ditarik balik.

"Ini kerana kami khuatir gelaran kebesaran oleh Istana Pahang disalah gunakan untuk kepentingan peribadi kerana bukti telah menunjukkan ianya telah ditarik balik.

"Polis boleh mengambil tindakan tegas jika benar ia dilakukan agar mana-mana pihak yang berniat untuk menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri secara palsu seperti ini," katanya.

Katanya, semua NGO Melayu sangat terkesan dengan tindakan mana-mana pemimpin yang cuba untuk menunjukkan kebaikan palsu kepada umum dengan cara menggunakan darjah kebesaran pihak istana.