Murid Tahun Empat dakwa ditampar guru ketika solat jemaah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang murid lelaki Tahun Empat mendakwa ditampar seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah di Membakut, pada Selasa lalu.

Kejadian didakwa berlaku ketika mangsa berusia 10 tahun bersama rakannya sedang menunaikan solat di surau sekolah berkenaan sebelum dia menceritakan perkara itu kepada ibunya dan laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 52 tahun selepas mendengar cerita daripada anaknya.

"Menurut laporan, pengadu memaklumkan anaknya menceritakan bahawa dia telah ditampar menggunakan tangan di bahagian kiri kepala sebanyak dua kali oleh seorang ustaz semasa menunaikan solat Zuhur di surau sekolah.

“Hasil siasatan awal, mangsa menyatakan semasa berada di saf ketika solat, rakannya telah menolak badannya sehingga keadaan pada ketika itu bising.

“Imam ketika itu iaitu guru tersebut telah memberhentikan solat lalu menghala ke arah mangsa dan menamparnya di bahagian kepala kiri dengan kuat.

"Mangsa mendakwa berasa sakit pada ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, siasatan turut mendapati mangsa mempunyai masalah kesihatan berkaitan ketumbuhan dalam hidung dan telah menjalani tiga pembedahan sejak 2024 serta masih dalam pemantauan doktor.

"Pada kira-kira jam 12.20 tengah malam Jumaat, mangsa dilaporkan mengalami pendarahan hidung ketika berada di rumah sebelum dibawa ibunya mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Membakut.

Artikel Berkaitan:

"Ibunya kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki pendarahan berkenaan mempunyai kaitan dengan kejadian tamparan yang didakwa berlaku sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, Champin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung laporan berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan untuk menjalankan siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!