Tiga penjawat awam antara ditahan merempit

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi samseng jalanan di sekitar ibu kota pada Ahad.
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi samseng jalanan di sekitar ibu kota pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga kakitangan kerajaan antara 11 individu yang ditahan dalam operasi samseng jalanan di empat lokasi sekitar ibu kota pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua individu berusia 17 hingga 27 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 1 pagi hingga 4 pagi.

"Kita menahan 10 lelaki dan seorang wanita di Jalan Genting Klang, Jalan Ampang, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Jalan Sungai Besi," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya mengesan penunggang motosikal melakukan aksi 'zig-zag', 'roket' dan mengangkat tayar hadapan atau 'wheelie' selain berlumba sesama sendiri.

"Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi sama, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun di Jalan Genting Klang kerana menukar nombor pendaftaran motosikal.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955," katanya.

Artikel Berkaitan: