Pelajar ketinggalan sekiranya sekolah ditutup lagi

Murid akan terus ketinggalan sekiranya sekolah ditutup lagi.
Murid akan terus ketinggalan sekiranya sekolah ditutup lagi.
A
A
A

SEREMBAN - Cadangan menutup semua sekolah berikutan peningkatan semula kes Covid-19 akan menyebabkan pelajar terus ketinggalan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puteri, Hasanol Bolkiah Zainal berkata, pihaknya mengakui ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak-anak, namun bukan mudah untuk memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) benar-benar berkesan terutama bagi golongan B40.

“Bagi saya, PdPR gagal kerana kebanyakan pelajar tidak dapat fokus sepertimana mana ketika mereka pergi ke sekolah.

“Saya tak mahu cakap anak orang lain, tapi anak saya sendiri pun tak belajar dengan baik bila di rumah,” katanya kepada Sinar Ahad.

Hasanol Bolkiah
Hasanol Bolkiah

Menurutnya, mengharapkan ibu bapa untuk memantau sesi PdPR anak-anak juga adalah sukar kerana kebanyakannya bekerja selain turut mempunyai komitmen lain.

Akibatnya kata Hasanol, ramai pelajar yang akhirnya akan hilang hala tuju pembelajarannya kerana tiada pemantauan khusus daripada guru atau ibu bapa ketika mengikuti PdPR.

“Pandangan saya menutup semua sekolah itu tak perlu, cukuplah sekadar sekolah atau kelas yang ada kes positif Covid-19 kerana jangkitan di sekolah banyak dari luar.

Artikel Berkaitan:

“Kita kena akui ketika ini ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencegah penularan kes di sekolah dengan memastikan keadaan kesihatan anak-anak sebelum membenarkan mereka ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Seremban 2B, Muhammad Izuddin Ghazali berkata, isu tetap akan timbul sama ada kerajaan mengambil tindakan menutup semua sekolah atau sebaliknya.

Katanya, ketika ini ramai ibu bapa dan guru-guru berada dalam keadaan serba salah dan dilema.

“Betul... kita risau soal keselamatan anak-anak, tapi susah juga buat ibu bapa yang bekerja bila kembali pada sesi PdPR terutama bagi yang mempunyai anak ramai.

“Saya rasa ia juga akan beri kesan emosi pada ibu bapa dan guru,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bersetuju jika hanya sekolah atau kelas yang mempunyai kes pelajar positif Covid-19 sahaja yang ditutup.

Malah katanya, sekolah juga tidak patut dipersalahkan apabila ada isu jangkitan Covid-19 di sekolah.

“Bagi saya kawalan paling penting adalah dari ibu bapa. Tolong jangan biarkan anak-anak yang tak sihat pergi ke sekolah.

“Saya juga berharap selepas ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jangan lagi buat keputusan mengejut,” katanya.