Sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.04 juta tumpas

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Polis Johor berjaya mematahkan kegiatan sindiket Ah Chuan dengan merampas dadah bernilai RM 3.04 juta dan membongkar sebuah stor pemprosesan serbuk esctacy menerusi enam serbuan pada Selasa dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, susulan serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, 10 orang suspek termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 51 tahun telah ditahan.

Katanya, dadah yang dirampas melibatkan 2.1 kilogram (kg) syabu, 450 gram (g) heroin, 3.8g ganja, 110g magic mushroom, 12g ketamin, 10 biji pil eramin 5 dan lima biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai kira-kira RM88,000.

"Susulan penahanan itu, polis berjaya membongkar operasi sebuah stor pemprosesan serbuk ekstasi di sekitar kawasan Johor Bahru dan merampas 49kg serbuk ekstasi bernilai RM2.96 juta.

"Modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah dengan menyewa kondominium mewah berpengawal dan berpagar untuk dijadikan stor pemprosesan dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Sabtu.

Dalam serbuan tersebut, polis turut menyita lima buah kereta pelbagai jenis, merampas wang tunai RM2,175 dan dua sitaan akaun bank dengan nilai sitaan RM1,584 serta merampas peralatan memproses dadah.

Ayob Khan berkata, rampasan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 174,960 penagih.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua 10 suspek berkenaan positif dadah dan semakan rekod mendapati tujuh daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan polis masih memburu saki baki sindiket Ah Chuan yang dipercayai masih bebas.," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.