Tergamak pukul ibu kandung dengan batang penyapu

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor)
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang wanita tergamak memukul ibunya sendiri dengan menggunakan batang penyapu dan telefon bimbit hanya disebabkan mangsa mengarahkan kawan lelakinya keluar dari rumah.

Dalam kejadian jam 10 pagi Jumaat lalu, wanita berusia 59 tahun itu ke rumah anaknya di Blok B, Pangsa Sri Bagan di sini sebelum melihat kawan lelaki anaknya berada di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas mengarahkan lelaki itu pulang anaknya yang berusia 24 tahun itu tiba-tiba mengamuk dan mengambil batang penyapu terus memukul ibunya.

Beliau berkata, anak bongsu wanita itu turut mengetuk telefon bimbitnya di kepala ibunya selain mengugut akan membunuhnya sekiranya dia membuat laporan polis berikutan kejadian itu.

"Akibat kejadian itu, mangsa berasa sakit di bahagian lengan dan kepala akibat kesan dipukul.

"Bimbang akan keselamatannya dan ahli keluarga lain, wanita berusia 59 tahun itu kemudiannya membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, siasatan mendapati rumah pangsa yang didiami didaftarkan atas nama mangsa namun dibeli oleh anaknya itu.

Katanya, daripada keterangan mangsa dia mengakui anaknya itu berubah menjadi lebih emosi kerana tiada sumber pendapatan dan terputus bekalan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ibunya selalu datang ke rumah tersebut berulang alik dari rumah sendiri di Kampung Bagan Dalam yang tidak jauh dari kawasan berkenaan.

"Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan dibenarkan keluar kerana tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Noorzainy berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang dipercayai seorang penagih tegar dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 / 506 Kanun Keseksaan.