'Ombak besar, kami tak mampu bantu mangsa'

Nik Amran (dua dari kanan) bercerita mengenai kejadian kepada mereka yang hadir di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar di sini.
Nik Amran (dua dari kanan) bercerita mengenai kejadian kepada mereka yang hadir di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Besar di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang saksi kejadian bot terbalik di Kuala Besar di sini mengakui sukar menyelamatkan tiga mangsa yang dikhuatiri hilang kerana berlaku ribut dan ombak yang tinggi.

Nik Amran Nik Hussin, 50, berkata, bot yang dinaiki tiga mangsa itu berada berhampiran dengan bot yang dinaikinya bersama tiga rakan yang lain.

Menurutnya, mereka keluar berkumpulan melibatkan lima buah bot fiber dan berjanji akan berjumpa di kawasan candat sotong lebih kurang 11 batu nautika dari darat.

"Bot mereka keluar awal dan kami berjumpa di kawasan candat sotong lebih kurang jam 6.30 petang, namun selepas jam 8.30 malam berlaku ribut serta hujan.

"Secara tiba-tiba berlaku ombak besar dan bot kami dipenuhi air sementara bot mereka terbalik. Setelah hampir sejam mencari mereka, kami mengambil keputusan untuk pulang bersama bot lain," katanya.

Nik Amran yang mempunyai pengalaman 20 tahun di laut berkata, walaupun dia sangat takut dan bimbang, namun dia tetap menguatkan diri untuk memandu bot pulang ke jeti bagi memaklumkan kejadian tersebut kepada rakan-rakan di darat kerana alat perhubungan jarak jauh yang digunakan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Nik Amran kemudian tiba di jeti pada jam 1.30 pagi Sabtu.

Nik Amran adalah 12 individu yang terselamat dalam kejadian bot terbalik ketika mencandat sotong pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan: