10,000 tan makanan dibuang setiap hari sepanjang Ramadan

Kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan. (Gambar kecil: Mohideen)
Kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan. (Gambar kecil: Mohideen)
A
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai diminta tidak membazir susulan sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan dibuang setiap hari oleh rakyat Malaysia sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan lain.

Menurutnya, dilaporkan pada 2018 sebanyak 20,088 tan makanan dibuang di seluruh negara setiap hari semasa Ramadan.

"Pada bulan yang suci ini umat Islam perlu ingat bahawa puasa adalah satu ibadah, satu cara untuk menjadi lebih bertimbang rasa terhadap mereka yang memerlukan dan peluang untuk lebih mendekati Tuhan.

"Oleh itu, CAP menggesa orang ramai agar tidak membazir makanan kerana banyak makanan berakhir di tapak pelupusan sampah sepanjang bulan Ramadan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, pembaziran makanan boleh membawa kepada kenaikan harga makanan memandangkan ia meningkatkan permintaan bekalan bahan mentah.

"Kita amat bergantung kepada mengimport makanan yang biasanya diniagakan dalam dolar Amerika. Dengan kadar tukaran semasa, kita terpaksa membayar lebih untuk jumlah yang sama. Ia adalah pengaliran keluar mata wang kita.

"Oleh itu, kerajaan perlu menubuhkan satu pasukan petugas untuk memahami masalah terselindung yang menyumbang kepada pembaziran makanan yang tinggi ini. Mungkin ia berpunca daripada penjaja dari rumah yang menyediakan terlalu banyak makanan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kemungkinan lebihan makanan yang tidak terjual akan dibuang kerana ia tidak lagi boleh disimpan," katanya.

Mohideen berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa berkaitan mempertimbangkan beberapa perkara antaranya mengehadkan bilangan gerai yang menjual jenis makanan yang sama di bazar Ramadan.

"Persaingan perniagaan adalah baik tetapi jika terlalu tepu, ia akan menyebabkan kendalian terhadap sesuatu makanan itu tidak dapat dijalankan dengan baik. Ini boleh menjadi pembaziran makanan kerana pelanggan mempunyai banyak pilihan.

"Saiz bazar Ramadan juga perlu ditentukan mengikut saiz komuniti. Sebab itu, perniagaan akan terkesan secara negatif jika bilangan gerai terlalu banyak. Selain itu, makanan yang masih elok boleh didermakan kepada bank makanan atau badan sukarela untuk diberikan kepada golongan miskin dan gelandangan," katanya.

Menurutnya, penjualan makanan di bazar Ramadan tidak seharusnya dibuka untuk semua kerana jika terlalu besar, ia tidak bermanfaat kepada penjaja dan peniaga sebaliknya mengakibatkan masalah pembaziran makanan yang tidak dapat diselesaikan sejak dahulu lagi.