Tak perlu dihebah kepada pihak luar

Mohd Zawawi (tiga dari kiri) meninjau harga barangan ketika turun padang melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di pusat membeli-belah AEON pada Khamis.
Mohd Zawawi (tiga dari kiri) meninjau harga barangan ketika turun padang melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di pusat membeli-belah AEON pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor masih menunggu aduan rasmi berhubung isu larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di sebuah taman perumahan di Puncak Alam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, negeri ini mempunyai garis panduan dikeluarkan pada 2017 yang membenarkan setiap masjid dan surau melaungkan azan menggunakan pembesar suara termasuk melibatkan kawasan dalam rumah ibadat itu.

Namun begitu, beliau berkata, dalam sebuah negara yang berbilang kaum, isu melibatkan perkara itu sewajarnya dibincangkan melibatkan pihak berkaitan seperti persatuan penduduk, wakil rakyat dan lain-lain.

"Perkara sebegini sepatutnya tidak dihebahkan kepada pihak luar kerana dibimbangi mereka akan melihatnya dari sudut luar konteks dan kesannya isu yang kecil menjadi besar," katanya selepas turun padang bagi melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di pusat membeli-belah AEON pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli membangkitkan isu itu selepas beliau menerima aduan daripada penduduk setempat yang meminta pihak surau menunggu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi membincangkan kebenaran azan menggunakan pembesar suara.

Malah, Mohd Shaid turut menuntut Mohd Zawawi dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu azan: Penduduk mengadu surau tak dibenar guna pembesar suara

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya telah berhubung dengan ADUN terlibat bagi membincangkan perkara itu dan meminta beliau membantu menganjurkan sesi dialog selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta ADUN terlibat bantu anjurkan sesi dialog antara persatuan penduduk dan pihak terlibat untuk penyelesaian terhadap perkara ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Mohd Zawawi berkata, sebanyak 10 barangan telah diletakkan di bawah SHMMP 2021 antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C dan beberapa lagi.

Katanya, SHMMP 2021 merupakan satu usaha bagi menyekat kebaikan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

"Bagi melancarkan langkah ini, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor juga akan berada di lapangan bagi menjalankan pemeriksaan terhadap pelaksanaan SHMMP 2021 ini," katanya.