[DIKEMASKINI] Nafas tidak abai isu bekalan benih padi sah

Keratan akhbar Sinar Harian pada Rabu mengenai kebimbangan pesawah tentang kelewatan benih padi sah.
Keratan akhbar Sinar Harian pada Rabu mengenai kebimbangan pesawah tentang kelewatan benih padi sah.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengambil berat dan mengikut secara rapat setiap permasalahan berkaitan isu pembekalan benih padi sah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Nafas, stok bagi pembekalan benih padi adalah mencukupi berdasarkan kesemua varieti benih yang ditawarkan di pasaran.

"Berdasarkan rekod terkini, sebanyak 595,035 beg pesanan benih padi varieti MR297 diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 321,689 beg telah dibekalkan oleh Nafas.

"Atas kekangan stok benih padi yang terhad di pasaran maka keperluan benih padi MR297 mengambil sedikit masa untuk disediakan," menurut kenyataan berkenaan pada Khamis.

Menurutnya, Nafas telah mengambil pelbagai langkah yang wajar dalam memastikan isu bekalan benih padi dapat diselesaikan dengan cara terbaik untuk kebaikan petani.

"Nafas telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pemborong tunggal dan seterusnya mengedarkan bekalan benih padi sah yang dibekalkan oleh 10 syarikat pembekal yang dilantik.

"Nafas juga telah berbincang dengan kesemua syarikat pengeluar yang dilantik untuk memastikan benih dibekalkan adalah terjamin berkualiti dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

"Bagaimanapun petani mempunyai hak untuk memulangkan semula benih padi yang diragui kualitinya serta menjadi tanggungjawab syarikat pengeluar untuk menggantikan benih tersebut dengan benih yang baru," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, Nafas juga memandang serius tentang kelewatan pembekalan benih padi.

"Nafas telah bertungkus-lumus menyelesaikan perkara tersebut dan memohon semua pihak bersama-sama mencari alternatif terbaik dalam menyelesaikannya dengan mengambil kira pelbagai langkah dan cadangan untuk mengguna pakai varieti benih yang lain seperti MR219 dan lain-lain sekiranya varieti MR297 habis di pasaran.

"Adalah menjadi hasrat Nafas melihat perkara ini dapat ditangani secara berkesan dengan penglibatan semua pihak.

"Nafas terbuka untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada semua pihak dalam mencari penyelesaian terbaik bagi semua perkara demi kelangsungan industri padi dan beras negara,"katanya.

Pada Rabu, akhbar Sinar Harian melaporkan pesawah di seluruh tanah air menggesa Nafas segera menyelesaikan isu kelewatan pengedaran benih padi sah yang kini mengganggu proses penanaman padi mereka pada musim ini.

Pada masa sama mereka tidak bersetuju sekiranya penggunaan benih padi ditukarkan kepada jenis MR219 bagi menyelesaikan isu kelewatan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Nafas digesa selesai segera isu kelewatan edar benih padi