Tiga 'pump gun' dirampas di hospital

No Image Caption
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis merampas tiga laras 'pump gun' serta menahan dua pengawal keselamatan dalam serbuan di tempat memunggah barang Hospital Alor Gajah, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam serbuan jam 5 petang yang dilakukan pasukan polis Bahagian Perlesenan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati kedua-dua suspek berusia 30 dan 34 tahun itu telah meletakkan senjata api terbabit di tempat yang tidak diwartakan.

"Pasukan polis telah membuat pemeriksaan di ruang memunggah barang hospital dan menjumpai tiga laras 'pump gun' milik syarikat keselamatan berkenaan.

"Tindakan itu menyebabkan mereka telah melanggar syarat lesen di mana tiga laras senjata api telah disimpan di tempat yang tidak diwartakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya turut merampas 30 butir peluru 12 bore, sebuah van syarikat keselamatan, tiga sarung senjata warna hitam dan tiga kotak peluru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: