Penghantar makanan cedera dipukul dengan penukul besi

Mangsa (kiri) mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan penukul besi oleh suspek (kanan). - Foto Ihsan PDRM
Mangsa (kiri) mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul menggunakan penukul besi oleh suspek (kanan). - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penghantar makanan cedera selepas dipukul seorang lelaki menggunakan penukul besi di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini pada Selasa lalu.

Akibatnya mangsa yang berusia 40 tahun menerima sembilan jahitan di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, susulan daripada kejadian itu, polis menahan seorang penganggur berusia 31 tahun di rumahnya pada jam 11.15 malam, Rabu bagi membantu siasatan.

"Kita menahan suspek untuk membantu siasatan. Selain itu, kita turut merampas penukul besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek direman tiga hari sehingga 24 April untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Soffian berkata, mangsa menghantar makanan yang ditempah oleh seorang wanita pada jam 4.10 petang.

Beliau berkata, ketika mangsa tiba di kawasan perumahan itu, dia menunggu kedatangan pelanggannya namun tidak muncul.

"Mangsa menunggu pelanggannya itu dalam tempoh agak lama untuk menyerahkan makanan yang ditempah. Mangsa menghubungi wanita tersebut beberapa kali untuk memaklumkan bahawa dia sudah berada di lokasi, namun tidak dijawab.

Artikel Berkaitan:

"Wanita tersebut hanya tiba dan mengambil makanannya selepas 10 minit kemudian. Selepas menyerahkan makanan, mangsa beredar dari lokasi tersebut," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun selepas 20 minit, mangsa dihubungi oleh suami wanita tersebut yang mengatakan ingin memulangkan semula makanan ditempah itu.

"Mangsa kemudian ke lokasi itu semula dan berlaku pertengkaran antara suami wanita tersebut dengan mangsa.

"Suspek menuduh mangsa memarahi isterinya berhubung penghantaran makanan menyebabkan suspek memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi," katanya.