X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya perigi untuk perniagaan, komersial perlukan lesen

Notis pemberitahuan yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.
A
A

KOTA BHARU - Pemilik premis yang menggali perigi bagi tujuan perniagaan atau komersial perlu memohon Lesen Abstraksi Air Tanah daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.

Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan dalam satu status yang dimuat naik menerusi entri laman sosial jabatan itu bagaimanapun menjelaskan, kegunaan perigi bagi tujuan domestik seperti air telaga di rumah tidak perlu memohon lesen.

"Hal ini kerana ia berada dibawah kategori sara diri yang mana rakyat tidak perlu berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, apa yang tular sebelum ini mengatakan orang ramai akan didenda di mahkamah sebanyak RM300,000 jika tidak mempunyai lesen membina perigi itu adalah maklumat yang mengelirukan rakyat.

Katanya, surat arahan pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 yang tular sebelum ini adalah surat arahan yang dituju kepada pemilik premis perniagaan dan industri.

"Sebagai contoh mudah, Pakcik Ali memiliki perigi dan menggunakan perigi sejak 10 tahun lalu tidak perlu membuat permohonan Lesen Abstraksi Air Tanah kerana penggunaan perigi itu adalah bersifat sara diri untuk kegunaan isi rumah.

"Anak Pakcik Ali memiliki perigi dan menggunakan perigi berkenaan untuk kegunaan Perniagaan Kedai Dobi Layan Diri 24 jam, maka anaknya perlu memohon Lesen Abtraksi Air Tanah kerana penggunaan perigi adalah bersifat komersial dan perniagaan, bukannya untuk kegunaan persendirian," katanya.

Jabatan berkenaan berkata lagi, untuk mengetahui proses lanjut berkenaan permohonan lesen Abstraksi Air Tanah, boleh berhubung dengan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim atau menghubungi di talian 09-7475240.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa rakyat Kelantan yang menggali telaga dan boring air bawah tanah boleh didakwa di mahkamah sebanyak RM1,000 sehari bermula perigi itu wujud.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!