Agensi penguat kuasa kurang tindakan tangani kenaikan harga barang

Mahathir Mohd Rais
Mahathir Mohd Rais
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Mohd Rais mengakui agensi penguat kuasa kurang mengambil tindakan dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat tidak boleh menjangkakan keadaan itu dapat dikawal dengan teratur oleh kerajaan terutamanya ketika negara masih lagi berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, sudah tentu ada beberapa kelompongan atau kekurangan dalam tindakan agensi penguat kuasa berkaitan.

"Kita tidak boleh menjangkakan kerajaan untuk menjalankan segala-galanya dengan begitu teratur ketika dalam keadaan yang amat mencabar ini.

"Keadaan ini bukanlah keadaan kita lalui setiap tahun kerana ini adalah satu situasi yang baharu. Sudah tentu perlaksanaannya tentang kaedah bagaimana untuk kita berdepan atau mencari data lebih relevan di peringkat bawah penting.

"Maklum balas daripada agensi ini serba sedikit membantu. Jadi saya rasa kerajaan juga (sudah) berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan data-data ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Sinar Live bertajuk 'Kerajaan Gagal: Awas Signal Rakyat Kecewa dihoskan Dinnie Asyraf Salim yang disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Dinnie mengenai inisiatif dan pelan tindakan yang hanya dilaksanakan selepas isu kenaikan harga barangan menjadi topik hangat dibincangkan.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 12 jenis barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bermula Rabu.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, KPDNHEP mengawal harga barang mentah itu untuk mengekang peniaga tidak bertanggungjawab daripada menaikkan harga.

"Jadi perkara ini adalah satu maklum balas yang baik untuk kerajaan apabila mendapat input dan sebagainya pihak kerajaan (segera) melaksanakannya," katanya.