X

Kindly register in order to view this article
!

Perak teroka tenaga baharu elak konflik orang asli, alam sekitar

Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Redza Rafiq (kiri) dan Muhamad Guntor di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak serius meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui menerusi inisiatif solar bagi mengurangkan konflik dengan masyarakat orang asli dan alam sekitar.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penggunaan teknologi solar merupakan alternatif kepada tenaga hidro yang menggunakan sungai sebagai sumber utama.

Menurutnya, tambahan pula Perak mempunyai kawasan tasik dan bekas lombong tidak digunakan yang boleh digunakan sebagai kawasan ladang solar menerusi kerjasama dengan syarikat swasta.

"Apabila kita membangunkan tenaga hidro, kebanyakan sungai berada di dalam hutan melibatkan penempatan orang asli, sudah pasti kita akan berhadapan dengan mereka.

"Tetapi untuk ladang solar, kawasan ini tidak terlibat dengan orang asli, iaitu bekas lombong yang ditinggalkan, jadi tiada masalah itu lagi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Inisiatif Projek Solar Perak di antara Perbandanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Urusan GKSB, Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng.

Saarani berkata, kerajaan negeri komited untuk merangka strategi pembangunan sosio ekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik selain menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta bagi inisiatif teknologi hijau.

Sementara itu, Muhamad Guntor berkata, pembangunan ladang solar dengan kerjasama PKNPk itu melibatkan kawasan seluas 106.25 hektar di Kuala Bikam, Bidor yang akan menjana tenaga sebanyak 40 megawatt.

Katanya, projek yang akan bermula pada tahun 2022 itu bakal menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan selain membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila siap dalam tempoh 16 hingga 18 bulan.

Beliau berkata, ladang solar tersebut merupakan yang keempat di Perak dengan nilai pelaburan keseluruhan RM514 juta melibatkan kawasan di sekitar Bidor.

"Kita memilih Perak kerana kita menggunakan tanah bekas lombong sekali gus mencipta nilai selain mampu membayar cukai tanah serta cukai taksiran kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah dan tanah.

"Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar kerana sangat mesra perniagaan malah tindakan projek yang tertangguh selama sembilan bulan boleh selesai dalam masa sebulan," katanya.

Ditanya sama ada penggunaan kawasan bekas lombong akan memberi kesan kepada nelayan darat, Muhamad Guntor berkata, pembangunan ladang solar di kawasan itu akan memberi manfaat kepada nelayan darat.

Katanya, setiap kawasan bekas lombong yang digunakan itu akan dilepaskan ikan bagi memastikan bahagian pelampung solar bersih daripada rumpai dan lumut.

Jelasnya, setelah cukup tempoh ikan tersebut, nelayan darat akan dibenarkan mengambil ikan di kawasan tersebut dan akan terus ditambah di lombong berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!