Polis rujuk laporan bekas YB kepada SKMM

PDRM
PDRM
A
A
A

SIBU - Laporan polis yang dibuat bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk Sng Chee Hua bagi menafikan dakwaan yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya beliau dalam sindiket menghantar pekerja tempatan ke Kemboja; telah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Daerah Sibu, Asissten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan perkara itu berkata, polis ada menerima laporan berkenaan daripada Sng hari ini, yang dibuatnya bagi menafikan sebarang penglibatan beliau dalam perkara itu.

“Benar kita ada menerima laporan (dari Sng) dan telah merujuknya kepada pihak SKMM. Dia (Sng) hanya menafikan sebarang penglibatan di dalam aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi lewat petang ini.

Difahamkan bekas anggota parlimen Julau (1995–1999) itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Hulu Lanang pada jam 11.56 pagi ini selepas diberitahu mengenai dakwaan yang tular di kalangan pengguna aplikasi WhatsApp itu oleh anaknya Larry Sng Wei Shien, yang merupakan Anggota Parlimen Julau.

Beliau menafikan sebarang penglibatan di dalam sindiket yang menipu rakyat Sarawak dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Kemboja, sehingga mengkibatkan 40 ditahan pihak berkuasa di negara berkenaan baru-baru ini.

Stanley juga mengesahkan, tiada sebarang laporan dibuat mana-mana individu ke atas Sng yang juga pernah menjadi ADUN Pelagus itu berhubung dakwaan terbabit. - Bernama

Artikel Berkaitan: