X

Kindly register in order to view this article
!

UNDI 18: Muda Kedah bantah keras alasan AGC

Faqrul Asyraf
A
A

ALOR SETAR - Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kedah membantah keras alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyifatkan permohonan semakan hakim untuk mencabar tindakan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 sebagai pramatang dan remeh.

Pengerusi Muda Kedah, Faqrul Ashraf berkata, pihaknya menegaskan bahawa suara anak muda tidak sepatutnya dipandang enteng begitu sahaja oleh kerajaan dan juga pihak berkaitan.

Menurutnya, harapan agar hak memilih pemimpin diberikan kepada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun kini diliihat semakin pudar dari arena demokrasi negara.

"Keputusan AGC menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan sebuah tindakan undang-undang oleh gerakan Undi 18 telah mengejutkan negara pada Selasa.

"Justifikasi Jabatan Peguam Negara yang menganggap permohonan pasukan anak muda tersebut sebagai pramatang dan remeh adalah sesuatu yang sungguh menyedihkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Faqrul, naratif politik lapuk yang masih menjadi mainan ahli politik Malaysia seakan-akan acuan rejim 60 tahun dahulu untuk menyekat dan mengunci suara anak muda perlu dihentikan.

Menurutnya, kelantangan dan cakna orang muda dalam politik negara seolah-olah menimbulkan ketakutan kepada kelompok-kelompok tertentu yang mahu mempertahankan status quo masing-masing.

"Tindakan ini bukan sahaja merompak hak orang muda, malah membelakangkan institusi Parlimen kerana persetujuan untuk melaksanakan Undi 18 telah dipersetujui bersama-sama di blok pembangkang dan kerajaan pada tahun 2019 secara bipartisan success.

"Sebanyak 211 ahli Dewan Rakyat bersetuju tanpa sebarang bantahan pada 6 Julai 2019 manakala pada 25 Julai 2019 pula, seramai 47 ahli Dewan Negara meluluskannya," katanya.

Tambahnya, perkara itu dikuatkan lagi dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 4 September 2019 disusuli dengan pewartaannya pada 10 September 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata, Muda Kedah juga mendesak kerajaan negeri Kedah menyatakan secara jelas sokongan atau bantahan terhadap penangguhan pelaksanaan Undi 18 agar kelompok pengundi tersebut tidak tertanya-tanya tentang pendirian kerajaan negeri berhubung isu ini.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah perlu menyatakan komitmen untuk menyokong RUU Undi 18 bagi menunjukkan usaha yang jitu dalam memperkasa belia di bidang politik dan memperkukuh kebebasan bersuara serta berpersatuan dalam suasana demokrasi di Malaysia," katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan AGC membantah permohonan oleh 18 anak muda warga negara Malaysia untuk mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu suatu langkah untuk menurunkan had usia mengundi warganegara kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran pemilih automatik (AVR) dilakukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!