X

Kindly register in order to view this article
!

ESL enggan mengalah

ESL akan membentuk semula liga tersebut untuk memastikan ia tetap berjalan seperti yang dirancang.
A
A

LIGA Super Eropah (ESL) akan menstruktur semula kejohanan tersebut selepas enam pasukan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) mengumumkan menarik diri daripada menyertai ESL.

Liga itu dalam satu kenyataan berkata, mereka akan memikirkan cara paling terbaik untuk memastikan liga tersebut dapat dijalankan walaupun beberapa pasukan besar telah menarik diri.

Chelsea, Manchester United, Manchester City, Tottenham Hotspur, Liverpool dan Arsenal telah mengesahkan untuk menarik diri, sekali gus memberikan tamparan kepada ESL sekali gus menyaksikan liga tersebut kemungkinan tidak dapat dilangsungkan.

"ESL yakin bahawa status quo bola sepak Eropah sekarang perlu berubah. Sebab itu, kami mencadangkan pertandingan Eropah yang baru kerana sistem yang ada tidak berfungsi. Cadangan kami bertujuan untuk membolehkan sukan ini berkembang sambil menjana sumber pendapatan dan kestabilan untuk piramid bola sepak.

"Ia termasuk membantu mengatasi masalah kewangan yang dialami oleh seluruh komuniti bola sepak yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Kami ambil maklum keputusan kelab daripada EPL yang telah terpaksa menarik diri ekoran tekanan daripada pihak tertentu.

"Namun, kami percaya apa yang kami sedang usahakan ini tidak melanggar undang-undang dan peraturan Eropah seperti yang ditunjukkan oleh keputusan pengadilan untuk melindungi ESL daripada tindakan pihak ketiga.

"Melihatkan kepada keadaan semasa, kami akan mempertimbangkan kembali langkah-langkah untuk membentuk semula projek ini dan dalam masa sama menawarkan pengalaman terbaik kepada peminat selain meningkatkan pembayaran solidariti untuk seluruh komuniti bola sepak," katanya.

Terdahulu, penubuhan ESL itu ditentang keras banyak pihak termasuk penyokong bola sepak yang menyifatkan pembentukan liga itu tidak beretika selain FIFA dan UEFA akan mengenakan hukuman berat kepada pasukan dan pemain yang terlibat.

Buat masa ini, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus masih terbabit dalam projek berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!