Kelantan ‘mengamuk’

No Image Caption
A
A
A

SEBELUM Ramadan tiba, suasana persekitaran di negeri ini dilihat 'jo-ong' atau redup walaupun kadangkala diselangi hembusan ‘bayu panas’ matahari di penghujung bulan Mac.

Namun beberapa hari menjelang bulan penuh berkat itu, atmosfera di negeri Cik Siti Wang Kembang ini berubah secara tiba-tiba dari jo-ong kepada panas.

Semuanya dek kerana beberapa keputusan bersifat ‘kejutan’ yang diumumkan oleh pucuk pimpinan kerajaan negeri, sehingga nama Kelantan menjadi sohor kini di laman sosial.

Kejutan demi kejutan yang diumpamakan berlaku di 'selekoh terakhir' membuatkan majoriti rakyat di negeri ini ‘mengamuk’ sehingga ada dalam kalangan mereka tanpa segan silu ‘menakir’ kerajaan negeri di laman sosial.

Kisah ‘bayu panas’ melanda negeri ini bermula apabila kerajaan negeri membatalkan bazar Ramadan dan Aidilfitri secara mengejut ketika kebanyakan peniaga sudah bersedia untuk memulakan operasi.

Boleh dikatakan kebanyakan peserta bazar dilihat begitu teruja untuk kembali berniaga apabila ada dalam kalangan mereka sudah ’bergadai-gobek’ menggunakan barang kemas, pecah tabung dan sebagainya untuk mendapatkan lokasi terbaik bagi mencari rezeki selepas dipaksa bercuti gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Situasi itu telah mengundang rasa marah peniaga terhadap kerajaan negeri kerana langkah ‘mengejut’ dibuat sedangkan terdahulunya mereka mengumumkan tahun ini bazar Ramadan akan kembali beroperasi.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan menerusi entri laman sosial Facebook dengan mengecam langkah tersebut sehingga ada peniaga memuat naik status apabila tidak menghalalkan tindakan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Tindakan membatalkan bazar Ramadan dan Aidilfitri dibuat susulan serangan ‘menggila’ Covid-19 di Kelantan.

Langkah itu nampak ada asasnya (bagi membendung Covid-19), cuma ia dilakukan secara drastik sehingga membuatkan peniaga buntu untuk memikirkan alternatif lain bagi mencari rezeki.

Bagaimanapun kerajaan negeri tetap memberikan kelonggaran dengan membenarkan peniaga beroperasi di kawasan tepi-tepi jalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketika isu penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri hampir selesai apabila kerajaan negeri mengumumkan khabar gembira dengan memperuntukkan insentif berjumlah RM1.5 juta untuk meringankan beban peserta (bazar) yang terjejas ekoran penutupan operasi, ‘bayu panas’ sekali lagi melanda tanah rendah sekebun bunga ini.

Bermula dengan tularnya khabar angin menerusi rakaman audio dan poster diaplikasi WhatsApp mengatakan PKP akan kembali dikuatkuasa pada 14 April.

Bagaimanapun sebelum itu pada 11 April, kerajaan Kelantan menerusi Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin menafikan khabar angin tersebut serta menegaskan tiada sebarang keputusan berkaitan perkara itu dibuat.

Malah pada 14 April sebelah paginya Ketua Polis Kelantan, Datuk Shapien Mamat mengeluarkan kenyataan menafikan PKP akan diadakan di negeri ini.

Selang, beberapa jam kemudian kerajaan persekutuan memutuskan tujuh daerah di Kelantan dikenakan PKP selama dua minggu bermula Jumaat (16 April).

Pengumuman itu sekali lagi membangkitkan kemarahan rakyat Kelantan dan kebanyakan mereka menyifatkan keputusan itu dibuat tanpa sempat mereka bersedia.

Selepas itu, rakyat Kelantan kemudian terus dihimpit keresahan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum bercadang untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan yang dikenakan PKP walaupun kes baharu positif Covid-19 di bumi Serambi Makkah ini menunjukkan trend menaik sehingga mencecah 332 kes positif.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika itu menegaskan pengoperasian sekolah didapati tidak berdepan sebarang masalah kerana mematuhi prosedur SOP yang ditetapkan.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan secara rasmi mengumumkan penutupan sekolah di kawasan PKP tepat jam 11 malam pada Sabtu malam.

Malangnya, surat rasmi arahan itu hanya diterima pentadbiran sekolah-sekolah pada 5 pagi Ahad iaitu kurang 24 jam selepas pengumuman Hang Soon berkait urusan tersebut.

Kesannya, ibu bapa yang tidak dapat maklumat tersebut menghantar anak mereka ke sekolah. Situasi itu sekali lagi membangkitkan kemarahan dalam kalangan ibu bapa.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian