Tak larat, sakit alasan kaki ponteng puasa

Penguat Kuasa JAINJ memberikan nasihat kepada beberapa individu yang ditangkap kerana tidak berpuasa di sebuah restoran di Johor Bahru pada Selasa.
Penguat Kuasa JAINJ memberikan nasihat kepada beberapa individu yang ditangkap kerana tidak berpuasa di sebuah restoran di Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tidak larat berpuasa selain sakit menjadi alasan biasa yang diberikan kaki ponteng puasa kepada penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) dalam operasi yang dijalankan bermula Ramadan pertama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamad berkata, sepanjang tempoh itu hingga kini, 23 saman telah dikeluarkan kepada 23 individu berusia 20 hingga 50 tahun di seluruh negeri ini yang ditahan kerana tidak berpuasa.

Menurutnya, mereka dikesan makan di kebanyakan restoran dan warung.

“Pelbagai alasan yang mereka berikan kepada anggota penguat kuasa kami yang membuat tinjauan.

“Mereka diberi nasihat oleh JAINJ selepas dikenakan saman dan penguatkuasaan ini kita akan teruskan sepanjang bulan Ramadan di seluruh daerah,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Dzulkafli berkata, selepas individu ditahan kerana tidak berpuasa, penguat kuasa akan keluarkan saman hadir kepada mereka berserta tarikh yang perlu datang ke bahagian penguatkuasaan JAINJ.

Katanya, semasa soal siasat juga mereka akan dinasihatkan supaya menghormati bulan Ramadan.

“Sekalipun tidak boleh berpuasa, mereka sepatutnya makan di tempat tertutup dan bukannya di khalayak ramai.

Artikel Berkaitan:

“Selepas kita panggil beri keterangan dan suspek mengaku. Mereka akan dituduh di bawah kesalahan Enakmen Kesalahan Jenayah negeri Johor 1997, Seksyen 15 (a) dan 15 (b),” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkafli berkata, mereka yang bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.