X

Kindly register in order to view this article
!

JKKP siasat kes pekerja maut tersepit

Kenyataan JKKP Selangor pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor sudah mengarahkan sepasukan pegawainya untuk menyiasat kejadian seorang pemandu lori maut tersepit di antara lori dengan jentolak di sebuah kilang di Klang pada Ahad.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya turut mengeluarkan satu Notis Larangan serta-merta atas kegagalan majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehingga menyebabkan kemalangan maut berkenaan.

Menurut kenyataan tersebut, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya di lapangan, membuat penilaian risiko serta mengadakan kawalan risiko berkesan sebelum menjalankan kerja.

“Hal ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya pada Selasa.

Pada Ahad, seorang pemandu lori warga Bangladesh ditemui maut akibat tersepit di antara lori dengan jentolak ketika sedang melakukan kerja-kerja mengangkut ‘slag’ di sebuah kilang di Klang pada Ahad.

Menurut kenyataan tersebut, lori yang dipandu oleh mangsa dipercayai tersangkut di dalam terowong yang becak dan bercerun dengan pencahayaan yang tidak memuaskan.

Tambahnya, mangsa juga meminta bantuan pemandu jentolak untuk menarik lori tersebut dengan menggunakan ‘wire rope’ yang diikat pada kedua-dua kenderaan terbabit.

“Namun, mangsa didakwa tidak menarik brek tangan dan turun dari lori untuk membuka kembali ikatan tersebut.

“Tiba-tiba, lori terbabit bergerak lalu menghimpit mangsa. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat tersepit di antara lori dan jentolak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!