Pemain kelab Liga Super Eropah diminta tenang: Florentino Perez

Florentino Perez -Foto AFP
Florentino Perez -Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez menyifatkan ancaman Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengenakan larangan mewakili negara masing-masing terhadap pemain Liga Super Eropah sebagai jenaka.

Malah menurut Perez, badan induk bola sepak Eropah itu tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan tersebut hanya disebabkan pemain tersebut mengambil bahagian dalam saingan liga elit 12 kelab Eropah tersebut.

"Saya nasihatkan semua pemain kelab yang menyertai Liga Super Eropah untuk kekal tenang berdepan ancaman ini kerana ia tidak akan berlaku. Pemain-pemain tidak akan dikenakan penggantungan UEFA sekiranya menyertai liga ini.

"Bukan hanya Ceferin sahaja mengeluarkan amaran keras tetapi juga ahli jawatankuasa eksekutif UEFA Jesper Moller juga menyatakan Real Madrid, Chelsea dan Manchester City boleh dikenakan penggantungan musim ini berikutan penyertaan dalam Liga Super.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa Real Madrid, Manchester City ataupun Chelsea tidak akan digantung daripada mengambil bahagian pada Liga Juara-Juara atau kejuaraan liga domestik

"Sejujurnya sukar untuk UEFA melaksanakan tindakan mereka kerana undang-undang melindungi kita. Saya beri jaminan 100 peratus mengenai perkara ini," katanya.

Presiden UEFA, Alexander Ceferin sebelum ini mengeluarkan amaran keras akan mengambil tindakan dalam kalangan pemain 12 kelab Liga Super Eropah tersebut dengan larangan mengambil bahagian pada saingan Euro dan Piala Dunia.

Selain Real Madrid dua kelab La Liga lain iaitu Atletico Madrid dan Barcelona juga menyertai saingan kelab elit tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga gergasi Sepanyol tersebut melengkapkan senarai baki lagi jagoan Eropah iaitu AC Milan, Inter dan Juventus dari Itali serta enam kelab England Chelsea, Manchester United, Manchester City, Arsenal, Liverpool dan Tottenham.