12 pemain remaja KDA FC timba ilmu di Real Madrid

12 pelajar dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman terpilih selepas mereka menjuarai kejohanan bola sepak remaja yang dianjurkan TH Global Football Camp Road to Real Madrid di Pulau Pinang awal tahun ini. - Foto: KDA FC
12 pelajar dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman terpilih selepas mereka menjuarai kejohanan bola sepak remaja yang dianjurkan TH Global Football Camp Road to Real Madrid di Pulau Pinang awal tahun ini. - Foto: KDA FC
A
A
A

SERAMAI 12 pemain Akademi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berusia 14 tahun terpilih menimba ilmu bola sepak antarabangsa apabila akan menjalani latihan asas di akademi bola sepak terkemuka dunia, Real Madrid pada minggu hadapan.

Mereka yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di Jitra, Kedah bakal mengikuti program yang dianjurkan oleh TH Globall Football Camp (THGFC) itu menerusi program Real Madrid Foundation Clinic selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Jun ini di Sepanyol.

Pengasas TH Global Football Camp, Datuk Tunku Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar berkata, 12 pelajar terbabit terpilih selepas mereka menjuarai kejohanan bola sepak remaja yang dianjurkan TH Global Football Camp Road to Real Madrid di Pulau Pinang awal tahun ini.

Barisan 12 pemain Akademi Kedah Darul Aman FC berusia 14 tahun akan mengikuti program Real Madrid Foundation Clinic selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Jun ini di Sepanyol. - Foto: KDA FC
Barisan 12 pemain Akademi Kedah Darul Aman FC berusia 14 tahun akan mengikuti program Real Madrid Foundation Clinic selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Jun ini di Sepanyol. - Foto: KDA FC

"Program Real Madrid Foundation Clinic ini mendedahkan pemain berkaitan aspek program teknikal dan taktikal daripada jurulatih di sana dan ini boleh meluaskan pelajaran dan pengalaman pemain ke peringkat antarabangsa.

"Seperti kita ke sekolah, dan kemudian kita tingkatkan pelajaran ke universiti di luar negara. Saya berharap apabila pemain yang melalui pengalaman di luar negeri ini pulang ke Malaysia, mereka memiliki pengetahuan yang lebih luas serta berpeluang mendapatkan kerjaya yang berjaya dalam bola sepak di Malaysia atau di mana sahaja," katanya pada petang Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis jamuan teh sempena meraikan pemain remaja Kedah yang akan mengikuti Program Real Madrid Foundation Clinic.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, barisan penaja program Road To Real Madrid Foundation, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, para pegawai KDA FC, guru dan jurulatih pasukan bola sepak SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Tunku Harrunnarasheed Putra berkata, penganjuran latihan pembangunan bakat muda di luar negara itu adalah usaha kedua selepas kejayaan program latihan diadakan di akademi bola sepak di Jerman iaitu BVB Dortmund pada 2019.