Khairulnizam mahu pakaian khas ditambah baik

Khairulnizam
Khairulnizam
A
A
A

ATLET perahu layar kebangsaan, Khairulnizam Mohd Afendy belum berpuas hati dengan pakaian khas yang dihasilkan untuk beliau bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

Beliau yang menerima sampel kedua pakaian yang dihasilkan menerusi kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Fitech Asia yang telah menelan kos lebih RM50,000 setakat ini, berkata masih ada beberapa aspek yang perlu dibaiki supaya ia selesa dipakai ketika temasya terbesar dunia itu.

Atlet berusia 27 tahun itu yang akan beraksi dalam acara kelas laser standard berkata, mendapatkan sut yang selesa sangat penting supaya ia tidak mendatangkan apa-apa masalah ketika mengharungi cabaran di Enoshima Yacht Harbour kelak.

"Saya memang mengutamakan keselasaan kerana di laut ada kemungkinan untuk macam-macam keadaan, jadi tak nak baju ini menjadi masalah buat saya. Kadang-kadang pakaian terlalu labuh, seluar pula terlalu londeh, kena dibetulkan.

"Jadi saya akan terus memberikan komen selepas mencuba pakaian tersebut pada sesi latihan minggu ini selepas pulang ke Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi minggu ini,” katanya yang baru pulang dari kem latihan di Sepanyol minggu lalu.

Terdahulu, beliau menerima sampel itu daripada Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya pada Isnin.

Khairulnizam yang bakal membuat penampilan ketiga di Olimpik selepas edisi London 2012 dan Rio 2016, berkata berdasarkan pengalamannya beraksi di venue berkenaan, cuaca dianggarkan sekitar 40 darjah Celsius pada Julai ini, jadi beliau mahu material yang tahan panas.

"Ketika itu, saya terlalu dehidrat dan berat badan menurun banyak, tak nak perkara itu berlaku lagi. Apabila saya turun laut, harapkan pakaian menjadikan badan saya sejuk, kurangkan peluh dan kalis air kerana pada setiap hari pertandingan, kita berada di laut dari empat hingga lima jam,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fitech Asia, Syed Aldrin Syed Ahmad Kabeer berkata, pihaknya akan terus melakukan penambaikan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada dua atlet yang akan menggunakan pakaian itu di Tokyo, iaitu khairulnizam dan Juni Karimah Noor Jamali.

"Material yang digunakan untuk menghasilkan sampel ini ialah Polyester 2D 2 way spandex, yang mempunyai dua kesan untuk tahan panas dan sejuk, jadi boleh pakai dalam dua cuaca berdasarkan kajian sejak 2019 lagi. Seterusnya kami akan uji ketebalan fabrik untuk teruskan penghasilan sampel seterusnya,” katanya.

Beliau juga yakin produk terakhir dapat dihasilkan dalam masa dua bulan lagi sebelum Sukan Olimpik membuka tirai pada 23 Julai ini. - Bernama