X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda redah banjir, hantar juadah berbuka buat keluarga

Muhamad Faris meredah banjir untuk membawa juadah berbuka puasa buat keluarganya pada Sabtu.
A
A

SKUDAI - Seorang anak sanggup berkorban meredah banjir hingga ke paras dada semata-mata mahu memberi juadah berbuka puasa kepada keluarganya yang terperangkap di rumah di Kampung Laut Batu 10, Skudai Johor Bahru.

Dalam kejadian Sabtu lalu, rumah didiami dua keluarga termasuk ibu, bapa dan adik perempuan, Muhamad Faris Sulaiman, 24 yang dinaiki air kira-kira jam 3 petang.

Muhamad Faris berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga char kuey teow dan nasi lemak telur puyuh di Taman Teratai dekat sini.

"Saya mendapat tahu berita ini dari adik tetapi waktu itu tidak serius kerana paras sungai berada di tahap normal, kemudian tiba-tiba hujan lebat dan saya tidak sempat balik.

"Air sangat deras dalam beberapa minit sahaja sudah cecah ke paras pinggang. Mereka terputus hubungan selepas keadaan laman rumah dipenuhi air bagaikan lautan. Lebih menyedihkan, mereka tidak boleh memasak juadah berbuka kerana semua perkakas rumah sudah ditenggelami air," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara menunggu bantuan dari anggota bomba dan penyelamat selain memikirkan keadaan keluarga yang kelaparan, Muhamad Faris berkata, dia nekad meredah banjir pada jam 7 malam sejauh kira-kira 50 meter.

"Pada mulanya takut juga kalau-kalau ada ular tetapi saya kuatkan diri bertindak sedemikian kerana memikirkan keluarga mungkin dalam kelaparan dan kesejukan kerana berendam dalam air lebih lima jam.

"Ada juga jiran menghalang perbuatan saya atas faktor keselamatan tetapi saya percaya, Insya-ALLAH dipermudahkan. Demi meredakan kegusaran, saya membuat 'live' di Facebook dan ramai rakan-rakan memberi kata-kata semangat dan mendoakan," katanya tidak menyangka rakaman itu menarik perhatian warganet di laman sosial.

Muhamad Faris berniaga nasi lemak telur puyuh dan char kuey tiaw untuk pendapatan sampingan bagi memenuhi impian membeli sebuah rumah buat keluarganya. - Foto Muhamad Faris
Muhamad Faris berniaga nasi lemak telur puyuh dan char kuey tiaw untuk pendapatan sampingan bagi memenuhi impian membeli sebuah rumah buat keluarganya. - Foto Muhamad Faris

Anak sulung dari dua beradik ini bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana banjir telah pun surut jam 3 pagi keesokan harinya.

Justeru, dia nekad untuk membeli sebuah rumah baharu buat keluarganya walaupun terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan dalam sehari kerana tidak mahu sejarah banjir berulang kembali.

"Niat memang mahu membeli sebuah rumah, jadi saya lakukan beberapa kerja dalam sehari. Pagi saya seorang pelukis pelan senibina, malam pula saya berniaga nasi lemak telur puyuh dan char kuey teow untuk pendapatan sampingan. Saya juga jual produk kesihatan penjagaan rambut.

"Saya amat berharap agar, impian kami untuk tinggal di rumah baharu terlaksana kerana sudah letih untuk menghadapi banjir sejak lima tahun ini," ujarnya.

Pada Sabtu, video dirakam Faris durasi tujuh minit menarik perhatian warganet kerana melihat kesungguhannya meredah banjir untuk menghantar juadah berbuka kepada keluarganya.

"Tolong teman. Aku takut nak masuk. Nak bagi ibu ayah makan berbuka," tulisnya di Facebook miliknya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!