40 tahanan anak Sarawak selamat tiba di Kuching

Seorang tahanan, Mark Roger,24, didukung oleh seorang rakannya selepas mengalami kecederaan pada kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Foto Bernama
Seorang tahanan, Mark Roger,24, didukung oleh seorang rakannya selepas mengalami kecederaan pada kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kesemua 40 anak Sarawak yang ditahan di penjara Kemboja kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram, selamat tiba di Terminal VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pada jam 2.20 petang hari ini, bersama-sama tiga lagi bekas tahanan dari Sabah.

Kesemua mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, Kemboja pada pukul 10.35 pagi menaiki penerbangan khas bersama-sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Kemboja Oknha, Datuk Dr Othsman Hassan turut menghantar mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap.

Suasana hiba menyelubungi terminal itu sebaik sahaja kesemua bekas tahanan keluar dari pesawat JC International Airlines apabila bertemu keluarga masing-masing yang sudah menunggu sejak pukul 1 tengah hari.

Tangisan kegembiraan dan kesyukuran mengalir membasahi pipi ketika anggota keluarga serta bekas tahanan saling berpelukan untuk melepaskan kerinduan setelah lebih dua bulan ‘terpisah’.

Pagi tadi, tiga lagi bekas tahanan yang berasal dari Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur selamat tiba di KLIA2.

Nor Ridwana Syahzani, 21, (kanan) memeluk ibunya, Marsita Mohamad,48, setibanya dia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Foto Bernama
Nor Ridwana Syahzani, 21, (kanan) memeluk ibunya, Marsita Mohamad,48, setibanya dia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Foto Bernama

Pada 7 Februari lalu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada sidang media mendedahkan 47 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 21 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kenyataan pada yang hari sama, Kementerian Luar mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lepas namun hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Disember.

Susulan itu, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, Wisma Putra bersama pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh giat menjalankan rundingan dengan pegawai kanan Kemboja agar kesemua tahanan dapat dibebaskan segera.

Seterusnya Mustapha turut mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Kemboja dan menemui Othsman bagi membantu mencari jalan penyelesaian.

Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan meluluskan pembebasan kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan. - Bernama