Wanita dalam pantang bertindak luar kawalan

Wanita yang bertindak luar kawalan menjerut lehernya menggunakan kain yang diikat pada jendela di dalam sebuah bilik di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu pada Ahad.
Wanita yang bertindak luar kawalan menjerut lehernya menggunakan kain yang diikat pada jendela di dalam sebuah bilik di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita sedang berpantang bertindak luar kawalan apabila cuba menjerut lehernya sendiri menggunakan kain yang diikat pada jendela di dalam sebuah bilik di Jalan Pasir Hor, di sini pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumbuh, Penolong Penguasa Bomba, El Taraff Mohd Zachariah berkata, wanita berusia 38 tahun itu baru melahirkan anak kembar pada 11 April lalu.

Beliau berkata, wanita berkenaan terlebih dahulu bertindak berkurung dalam bilik dan mengunci pintu.

"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 12.29 tengah hari apabila suami mangsa memberitahu isterinya telah menguncikan diri dari dalam bilik.

"Sebaik tiba di rumah itu, kita berusaha memanggil wanita berkenaan tetapi tidak diendahkan. Oleh kerana itu, anggota bomba terpaksa bertindak memecahkan pintu bilik menggunakan 'paratech rescue tool'," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, sejurus berjaya membuka pintu, wanita berkenaan didapati berada dalam keadaan terbaring di atas katil dengan keadaan muka yang pucat.

"Melihat kepada situasi tersebut, kita tidak menolak kemungkinan mangsa cuba membunuh diri," ujarnya.

El Taraff berkata, mengikut dakwaan suami, wanita berkenaan sebelum ini pernah cuba berbuat demikian, bagaimanapun gagal.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan selanjut," katanya.