IPT, majikan perlu kerjasama atasi ketidakpadanan pasaran pekerjaan

Ariff Farhan Doss dan Latifah Daud
Ariff Farhan Doss dan Latifah Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Institusi pengajian tinggi (IPT) dan majikan perlu bekerjasama untuk menyediakan serta mengiktiraf pembelajaran berasaskan kerja bagi menyelesaikan masalah ketidakpadanan antara kemahiran sumber manusia yang dihasilkan pihak IPT dan permintaan pasaran pekerjaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Datuk Ariff Farhan Doss berkata, perubahan keperluan dalam pasaran pekerjaan menimbulkan cabaran baharu yang memerlukan penyelesaian yang tidak hanya bergantung kepada institusi dan struktur tradisional.

Menurutnya, kedua-dua pihak yang terlibat itu harus bekerjasama untuk menggalakkan proses pembelajaran sepanjang hayat antaranya melalui kaedah seperti pemberian kurus jangka pendek berakreditasi atau dikenali sebagai 'micro-credential'.

“Kita minta supaya semua pihak dapat mencari jalan bagaimana IPT mampu memberikan pengiktirafan kepada proses pembelajaran yang berlaku di tempat kerja dan pada masa sama, kita juga menjangkakan supaya industri meraikan kehadiran IPT di tempat kerja.

“Ini kerana tanpa akses tersebut, IPT akan berhadapan dengan kesukaran untuk menilai dan memberikan pengiktirafan yang diperlukan.

“Jadi disebabkan itu, kedua-dua pihak perlu bekerjasama dan tidak sepatutnya bermusuh. IPT tidak seharusnya melihat pengiktirafan terhadap pembelajaran di tempat kerja sebagai sesuatu perkara yang akan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis di Webinar ‘Work-Based Learning: Connecting Higher Education, The Industry and Future Talents’ pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut bersama menjadi panelis ialah Pengarah Eksekutif Pengurusan Strategik Modal Insan Khazanah Nasional, Latifah Daud dan Profesor Adjung Universiti Taylor, Anas Zubedy.

Ariff berkata, sebagai pihak yang memiliki tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut, HRDF turut berhadapan dengan kesukaran untuk menyeimbangkan tuntutan dan kepentingan antara pihak IPT serta pemain industri.

“Di HRDF, kami berusaha memperkenalkan ‘micro-credential untuk semua program teknikal berasaskan kemahiran. Kami bekerja rapat dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana keyakinan mereka terhadap hubungan yang dimiliki HRDF bersama dengan 36,000 majikan.

“Kami juga memiliki hubungan dengan majikan yang mengetahui apa yang diperlukan industri. Kita juga memastikan kualiti yang dimiliki pekerja diiktiraf.

“Sementara itu, kami turut perlu mengiktiraf peranan IPT dalam menyediakan pelajar untuk tenaga kerja dan pada masa sama turut mengakui wujudnya perdebatan mengenai ketidakpadanan kemahiran yang dihasilkan IPT dan skil yang diperlukan pihak industri,” katanya.

Ariff berkata, semua pihak termasuk masyarakat perlu melihat kembali pemahaman mereka mengenai konsep pembelajaran sepanjang hayat dan nilai yang dibawa oleh pendidikan, pengetahuan atau kemahiran.

“Saya percaya bahawa kedua-duanya (pendidikan dan pengetahuan(kemahiran)) adalah tidak bersifat eksklusif antara satu sama lain. Kedua-dua perkara itu boleh berjalan seiringan dan saling memerlukan,” katanya.

Kerajaan perlu memainkan peranan

Sementara itu, Ariff berkata, bagi memastikan kejayaan usaha tersebut, kerajaan juga perlu melibatkan diri dalam membantu melancarkan kerjasama antara IPT dan majikan di Malaysia.

Menurutnya, pengalaman yang pernah dilalui oleh HRDF membuktikan bahawa majikan dan pekerja lazimnya tidak berkongsi kepentingan yang sama.

“Majikan apabila diminta untuk menggunakan levi bagi pekerja mereka selalunya tidak akan memilih kursus yang terbaik bagi pekerjanya memajukan diri.

“Kadangkala disebabkan takut, ada pekerja yang perlu meninggalkan sesebuah organisasi untuk mendapat kursus yang dimahukan,” katanya.

Sehubungan itu, Ariff berkata, HRDF memberikan cadangan kepada kepada kerajaan supaya memberikan dua pilihan atau pendekatan ‘dual track’ dalam penyediaan sumber latihan kepada pekerja di Malaysia.

“Contohnya, sementara HRDF mengutip levi daripada majikan, kami juga meminta kerajaan supaya memberikan jumlah yang sama dalam bentuk eWallet kepada semua rakyat Malaysia berumur 16 tahun.

“Jumlah yang diberikan itu kemudiannya akan boleh digunakan untuk mendapatkan apa-apa latihan yang individu tersebut mahukan apabila sampai waktunya. Dengan cara ini, pekerja boleh memilih kemahiran apa yang mereka mahukan

“Jadinya, daripada hanya memiliki levi yang berorientasikan majikan, kita juga mahu supaya adanya levi yang berorientasikan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Latifah berkata, usaha menyeimbangkan antara kepentingan industri dan IPT memerlukan penglibatan pihak ketiga.

“Secara semula jadinya, industri direka untuk memberikan penekanan kepada keuntungan. Itu adalah Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) mereka. Universiti pun ada KPI mereka. Jadi akhirnya ia memerlukan pihak lain untuk melihat kepada perkara itu.

“Jika penyelesaian bagi perkara itu dibiarkan kepada kuasa pasaran dan ekonomi, tentunya harga akan meningkat dan negara juga akan menanggung kesan yang tinggi,” katanya.

Katanya, tiada jalan penyelesaian singkat yang boleh digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, beliau percaya suatu persefahaman boleh dipersetujui oleh kesemua pihak terlibat dalam menguruskan kesan jangka pendek yang perlu dihadapi oleh semua pihak bagi memastikan kesan jangka panjang yang diperlukan dapat dicapai.