Kastam rampas RM4 juta rokok seludup di Johor, Pahang

JDKM Johor menyerbu sebuah premis tidak bernombor dan berkunci di Jalan IM, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada Jumaat dan merampas1.7 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta.
JDKM Johor menyerbu sebuah premis tidak bernombor dan berkunci di Jalan IM, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada Jumaat dan merampas1.7 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya melakukan rampasan rokok bernilai RM4 juta dalam empat serbuan berasingan di Johor dan Pahang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas dua buah lori putih di pekarangan sebuah premis di Jalan Gambang, Kuantan, Pahang pada jam 8.30 pagi Jumaat.

"JKDM Johor menemukan 2.6 juta batang rokok. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan termasuk lori berkenan berjumlah RM2.4 juta. Kedua-dua lori itu dijadikan tempat penyembunyian rokok putih dan rokok kretek dipercayai belum lulus kastam.

"Terdapat kotak-kotak di bahagian belakang lori tersebut yang telah diisi dengan pelbagai jenis makanan ringan bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan mereka dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, menerusi serbuan kedua JDKM Johor menyerbu sebuah premis tidak bernombor dan berkunci di Jalan IM, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada jam 10.40 pagi Jumaat.

Hasil pemeriksaan katanya, menemukan 1.7 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta dan usaha mengesan pemilik premis sedang dijalankan.

Sementara kes ketiga katanya, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai melakukan pemeriksaan sebuah lori 'bonded' sedang parkir di tepi Jalan Tun Abdul Razak di sini pada jam 10.15 malam Jumaat.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi ke atas lori 'bonded' 5 tan dengan label makanan ringan tersebut menemukan sejumlah rokok putih yang dipercayai belum lulus kastam cuba disembunyikan.

Artikel Berkaitan:

"Taktik licik sindiket adalah dengan menyusun rokok-rokok seludup di bahagian hadapan ruang kargo lori tersebut manakala bahagian belakangnya disusun dengan tong-tong putih kosong bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Terdapat 200,000 batang rokok putih seberat 160 kilogram. Nilai keseluruhan dagangan yang disita termasuk cukai dan kenderaan berjumlah RM270,000. Usaha mengesan pemilik kenderaan sedang dijalankan," katanya.

Sazali berkata, bagi kes keempat pihaknya merampas 131,484 batang rokok seludup bernilai RM233,028 di sebuah pasar mini dan dalam dua buah kenderaan di Tenang, Segamat pada jam 11 pagi Sabtu.

"Semasa serbuan kenderaan berkenaan iaitu sebuah kereta Sedan dan sebuah pacuan empat roda berada di kawasan pasar mini tersebut. Seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun untuk siasatan lanjut," katanya.

Semua kes itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.