X

Kindly register in order to view this article
!

Kenyataan akhbar Apandi timbulkan keraguan ke atas integritinya

Sithambaram (tengah) hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa integriti bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipersoalkan selepas beliau melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada didakwa menyalahgunakan dana milik SRC International Sdn Bhd apabila bukti menunjukkan sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram berhujah bagaimana Mohamed Apandi yang merupakan saksi ke-14 pembelaan (DW14) mengesahkan dua carta aliran yang dipegangnya semasa sidang akhbar untuk membebaskan Najib pada 26 Januari 2016 merupakan carta aliran sama yang dikemukakan sebagai bukti semasa perbicaraan.

Sithambaram berkata, carta aliran yang dipegang oleh Mohamed Apandi dengan jelas menunjukkan dana daripada SRC International memasuki akaun Najib bukan daripada sumbangan derma Arab sebagaimana didakwa Najib sepanjang pembelaannya.

Beliau berhujah mengenai perkara ini di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana RM42 juta SRC International.

Dua lagi anggota panel itu, ialah Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

SRC International sebelum ini memperoleh dua pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) menerusi dua Jaminan Kerajaan (GG) yang ditandatangani Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa dua mesyuarat kabinet yang berlangsung pada Ogos 2011 dan Februari 2012.

“DW14 (Mohamed Apandi) menyatakan bahawa beliau mengeluarkan dua siaran akhbar pada Januari 2016 mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perayu ditutup kerana DW14 berpuas hati antara lain tiada bukti menunjukkan perayu menyalahgunakan kedudukannya untuk meluluskan GG pinjaman RM4 bilion kepada SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Bukti itu dengan jelas menunjukkan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank perayu adalah daripada SRC dan bukan daripada sumbangan derma Arab atau daripada mana-mana sumber.

"Bukti ini menimbulkan keraguan ke atas integriti penemuan DW14 bahawa perayu tidak bersalah dalam kesalahan yang sedang disiasat SPRM,” kata Sithambaram.

Pendakwa itu berkata, semasa pemeriksaan balas, Mohamed Apandi telah bersetuju bahawa keputusan yang diambilnya melepaskan Najib berdasarkan fakta yang ada dalam kertas siasatan pada 26 Januari 2016.

“Keputusan Mohamed Apandi untuk melepaskan perayu adalah berdasarkan penemuan fakta bahawa perayu tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesalahan dilakukannya pada rumusan siasatan SRC sebelum itu," katanya.

Sithambaram berkata, kebiasaannya setiap keputusan mahkamah tidak berdasarkan pendapat mana-mana individu tetapi berdasarkan bukti yang dikemukakan dalam mahkamah.

Terdahulu, Sithambaram berkata, penubuhan SRC tiada kena mengena dengan kepentingan negara tetapi sebaliknya disengajakan dan rancangan yang dibuat dengan perhitungan teliti oleh Najib untuk manfaat peribadi.

“Ia kelihatan seperti satu ‘scam’,” katanya.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas Najib setelah beliau didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana RM42 juta SRC International.

Pendengaran rayuan disambung Isnin ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!