Polis kesan laman sesawang bank palsu

Zainuddin Yaacob
Zainuddin Yaacob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan kewujudan sindiket yang memanipulasi platform perbankan dalam talian dengan mewujudkan pautan laman sesawang palsu menyerupai laman sesawang bank berkaitan bagi tujuan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sebanyak empat laporan polis berkaitan kes sedemikian diterima membabitkan kerugian berjumlah RM22,300.

"Siasatan mendapati mangsa menerima e-mel kononnya daripada pihak Maybank menyatakan akaun bank mangsa mempunyai masalah keselamatan. Mangsa kemudian diminta menekan pautan yang disertakan bersama e-mel terbabit.

"Apabila pautan itu ditekan, laman sesawang palsu yang kelihatan seperti laman sesawang Maybank2u akan dipaparkan. Mangsa tidak menyedari ia adalah laman sesawang palsu," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Zainuddin berkata, mangsa kemudian dikehendaki mengemas butiran peribadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang palsu terbabit sebelum mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.

Beliau berkata, kes terbaharu yang diterima menunjukkan mangsa menerima pautan laman sesawang palsu itu melalui iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui Facebook.

"Kita minta orang ramai berhati-hati dengan memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2u yang dibuka benar-benar sama dengan alamat laman sesawang Maybank2u," katanya.

Tambah beliau, orang ramai juga diminta berhubung dan mendapatkan pengesahan daripada pihak bank sekiranya menerima e-mel yang meminta mereka mengemas kini maklumat peribadi melalui laman sesawang bank Maybank2u.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh menghubungi 'Scam Response Center' JSJK di talian 03-26101559 atau 03-26101599 sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki ada kaitan dengan penipuan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin turut mengingatkan orang ramai berhubung modus operandi sindiket penipuan kononnya tersalah memasukkan wang ke akaun mangsa.

"Sindiket akan menghubungi mangsa dan menyatakan mereka tersilap memasukkan wang ke akaun mangsa dan meminta wang itu dikembalikan.

"Mangsa yang menuruti arahan akan dihubungi semula dalam tempoh tidak sampai sebulan oleh syarikat peminjam wang tanpa lesen dan dipaksa membayar 'pinjaman' yang kononnya dibuat oleh mangsa," katanya.

Beliau berkata, nilai pinjaman itu adalah sama dengan jumlah wang yang kononnya tersalah masuk ke akaun bank mangsa.

"Setakat ini belum ada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes sedemikian, namun orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa," katanya.