X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki rentas negeri jumpa kekasih larikan diri dari polis

Kereta dipandu lelaki berkenaan yang terbabas di bahu jalan selepas melarikan diri daripada polis di Jalan Persiaran Utama S2/1, Seremban pada petang Selasa.
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki bertindak memecut kereta dipandunya selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Persiaran Utama S2/1 di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, tindakan lelaki itu bagaimanapun membawa padah apabila kereta dipandunya terbabas ke bahu jalan ketika dikejar kereta peronda polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati pemandu berusia 29 tahun itu datang dari Melaka dan melakukan kesalahan merentas negeri tanpa surat kebenaran polis.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikatakan datang ke Seremban untuk bertemu teman wanitanya yang berusia 21 tahun.

"Dalam kejadian itu, unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban sedang menjalankan rondaan di Bukit Chedang dan ternampak sebuah kereta jenis Hyundai dinaiki sepasang kekasih dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu kereta didapati tidak berhenti apabila diarahkan untuk pemeriksaan dan bertindak melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Said berkata, berikutan itu, polis terpaksa mengejar kenderaan berkenaan dengan dibantu tiga lagi MPV polis.

"Ketika cuba melarikan diri, pemandu itu turut melanggar lampu merah, membuat pusingan U tanpa kebenaran dan melanggar cermin sisi sebuah kereta lain. Kenderaannya akhirnya terbabas dan berjaya ditahan di Jalan Persiaran Utama S2/1 di sini.

"Berdasarkan ujian air kencing, suspek lelaki juga positif dadah jenis methamphetamine. Dia direman sehingga Khamis, manakala teman wanitanya direman sehari bagi membantu siasatan," katanya.

Tambah beliau, polis mengambil tindakan di bawah Seksyen 342 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap lelaki berkenaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!