​Terap nilai murni, rasa insaf

Antara penduduk kampung yang terlibat dalam program gotong-royong bersihkan tanah perkuburan di Kampung Chembong Halt, semalam.
A
A

REMBAU - Buat julung-julung kalinya, kariah masjid Kampung Cembong Halt menganjurkan program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di kawasan berkenaan, di sini, semalam.

Seramai 95 penduduk sekitar termasuk pasukan Rela, Jabatan Kerjaya Raya (JKR), dan lain-lain agensi, hadir untuk menjayakan program tersebut.

Pengerusinya,Mokhtar Jalil berkata, program bersihkan kubur secara gotong-royong dilakukan bagi menerapkan nilai murni dan rasa insaf dalam kalangan masyarakat kerana kawasan berkenaan adalah destinasi terakhir semua orang.

“Tanah kubur inilah rumah terakhir kita sebelum ke alam barzakh. Kita harus menjaganya dengan sempurna, memperbanyakkan buat aktiviti kebajikan selain menjaga solat dan mendekatkan diri dengan ALLAH,”katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Penyelaras DUN Chembong, Azizan Marzuki.

Katanya, apabila seseorang itu ingat kepada kematian, maka ia akan meningkatkan rasa takwanya kepada ALLAH SWT.

Selain itu, beliau berkata, gotong royong juga mampu mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Kita mahu mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat, tanpa mengira fahaman politik demi kepentingan bersama,”katanya.