Tangguh dahulu berbuka ramai-ramai: Dr Alias

Kawasan dataran di Pesisir Payang, berhampiran jambatan angkat dibanjiri ribuan pengunjung yang datang ke situ untuk berbuka puasa pada 2019. - Gambar fail
Kawasan dataran di Pesisir Payang, berhampiran jambatan angkat dibanjiri ribuan pengunjung yang datang ke situ untuk berbuka puasa pada 2019. - Gambar fail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu pada Selasa memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dibuat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang kini masih menular di negara ini.

"Keputusan mesyuarat JKKN sebentar tadi memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang kerana kes Covid-19 di Terengganu masih tinggi.

"Selain itu, di Terengganu juga masih wujud kluster-kluster baharu berpunca daripada tindakan rentas negeri dan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Sementara itu, berdasarkan kemas kini laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Terengganu, terdapat tujuh kluster direkodkan di negeri ini iaitu Kluster Ara Murni, Kluster Kampung Tanjung, Kluster Kampung Belaoh, Kluster Wakaf Changak, Kluster Chendering Height, Kluster Ladang Bukit, Kluster Bukit Bayas dan Kluster Bukit Petiti.

Katanya, sehingga Isnin, terdapat pertambahan tiga kes discaj dan 22 kes baharu menjadikan 172 kes Covid-19 aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,779 kes.

"Kesemua 172 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa," katanya.

Artikel Berkaitan: