1,900kg tepung gandum disimpan tanpa permit disita

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Timur Laut memeriksa tepung gandum di premis membuat makanan di Teluk Kumbar pada Isnin.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Timur Laut memeriksa tepung gandum di premis membuat makanan di Teluk Kumbar pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 1,900 kilogram (kg) tepung gandum bernilai RM4,637 di sebuah premis membuat makanan disita selepas pemiliknya didapati menyimpan barang kawalan itu tanpa permit yang sah.

Tindakan itu dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Timur Laut yang menyerbu premis di Teluk Kumbar, Bayan Lepas itu pada jam 4.30 petang Isnin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan membuat makanan itu dan mendapati peniaga memiliki barang kawalan berjadual iaitu 1,900kg tepung gandum untuk membuat produk makanan.

"Peniaga diminta mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual atau kebenaran bertulis daripada KPDNHEP namun gagal berbuat demikian.

"Oleh itu, kita menyita semua tepung gandum itu kerana peniaga didapati menyimpan barang kawalan tanpa permit yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, peniaga diwajibkan memiliki lesen atau permit kebenaran menyimpan barang kawalan dan kegagalan peniaga mengemukakan permit kebenaran daripada KPDNHEP adalah satu kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"KPDNHEP memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barangan kawalan yang dikeluarkan oleh pemilik perniagaan yang merugikan kerajaan dan rakyat.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta," katanya.

Artikel Berkaitan: