Dua binaan Lebuhraya SPE dapat Anugerah MBOR

Keng Cheng (kiri) Fadillah, Wong dan Cheng Hong ketika Majlis Anugerah MBOR pada Isnin. -Foto Ekovest Berhad
Keng Cheng (kiri) Fadillah, Wong dan Cheng Hong ketika Majlis Anugerah MBOR pada Isnin. -Foto Ekovest Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua binaan dalam projek Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa Tiga atau Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) menerima Anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) bagi dua kategori binaan.

Projek yang dilaksanakan syarikat Ekovest Berhad (Ekovest) dan Nehemiah Towoong Bridegetech Sdn Bhd (NTB) itu menerima penganugerahan bagi jambatan konkrit terpanjang menggunakan rasuk prategang berbentuk T dan rasuk prategang berbentuk T terpanjang di Malaysia.

Jarak jambatan terpanjang menggunakan rasuk yang dikenali ‘BH Girder’ ialah sepanjang 67.5 meter manakala rasuk BH Girder terpanjang adalah 63.1 meter.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Nehemiah, Ir Tan Cheng Hong berkata, proses menaikkan rasuk terpanjang di persimpangan Kerinchi, Lebuhraya Persekutuan itu berjaya dilakukan tahun ini.

“Dalam proses pembinaannya, kami menghadapi cabaran yang sangat ekstrem kerana lokasinya yang terletak di atas Lebuhraya Persekutuan dan berdekatan dengan Mid Valley Megamall,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MBOR di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Pengarah Urusan Ekovest, Datuk Seri Lim Keng Cheng dan Ketua Pegawai Operasi MBOR,Christopher Wong.

SPE merupakan lebuh raya pertama di Malaysia menggunakan rasuk jenis BH Girder dengan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 424.

Cheng Hong berkata, teknologi binaan daripada Korea Selatan itu mula digunakan sejak 2016 oleh NTB yang merupakan syarikat usaha sama antara Kumpulan Nehemiah dan Toowong Engineering and Construction Korea.

Artikel Berkaitan:

“Dengan penggunaan BH Girder yang lebih panjang berbanding rasuk konkrit konvensional, kontraktor yang menggunakannya dapat menjimatkan kos in pembinaan sebanyak 30 peratus.

“Ia juga akan mempercepatkan proses pembinaan terutamanya dalam situasi di mana kontraktor perlu mengurangkan pembinaan tiang sokongan untuk jejambat memiliki kepanjangan satu kilometer,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, pencapaian tersebut merupakan kejayaan Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia kerana menggunakan teknologi baharu dalam pembinaan lebuh raya.

Menurutnya, kerjasama dan inovasi antara jurutera tempatan dan Korea Selatan, reka bentuk BH Girder berjaya disesuaikan mengikut situasi di kawasan bandar yang padat.

“Ia dibina mengikut acuan tiga rasuk yang berasingan dan hanya digabungkan menjadi satu lokasi pembinaan.

“Justeru, masalah logistik mengangkut rasuk yang terlalu panjang dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata, rasuk BH Girder ini juga sesuai digunakan untuk kawasan bandar yang padat, terowong bawah tanah, kawasan yang mempunyai kabel dan saluran utiliti yang padat, lintasan sungai dan lintasan rel kereta api.

Mengulas mengenai perkembangan projek SPE, Fadillah berkata, lebuh raya yang dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada suku kedua tahun 2022 itu kini sudah 81 peratus siap pembinaannya.