Pembukaan sempadan antara agenda perbincangan Muhyiddin-Hsien Loong

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

KLUANG - Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dijangka akan menjadi agenda perbincangan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong di republik itu awal bulan depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan memastikan perkara tersebut antara isu yang akan dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut pada pertemuan itu.

Beliau berkata, rundingan mengenai pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura yang tertangguh akibat Covid-19 telah diadakan semasa lawatan Menteri Luar Singapura Dr.Vivian Balakrishnan ke negara ini akhir bulan lalu.

Katanya, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dalam masa terdekat.

“Dalam lawatan itu, saya akan pastikan bahawa itu (pembukaan sempadan) merupakan antara agenda dibincangkan antara Perdana Menteri kita dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong,” katanya pemberita selepas menghadiri program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Paloh di sini pada Isnin.

Mengenai kekosongan jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Hishammuddin, berkata ia masih dalam proses lantikan dengan terdapat beberapa perkara teknikal sedang diteliti oleh Wisma Putra.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata hubungan dua hala Malaysia-Singapura berjalan lancar dan tidak terjejas dengan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di republik itu.

Sebelum ini, jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura disandang Datuk Zainol Rahim Zainuddin sebelum beliau bersara wajib pada April tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini jawatan itu dipangku Timbalan Pesuruhjaya, Muhammad Radzi Jamaludin. - Bernama