Koperal putus jari kaki ketika bertugas terima penghargaan

Arjunaidi menyampaikan surat penghargaan kepada Aizuddin pada majlis yang diadakan di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam pada Isnin.
Arjunaidi menyampaikan surat penghargaan kepada Aizuddin pada majlis yang diadakan di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - "Ya ALLAH, jari kaki aku," itu antara reaksi anggota polis, Koperal Aizuddin Rozaini selepas menyedari dua jari kaki kirinya putus dilanggar seorang individu ketika sedang menjalankan operasi di Lebuhraya Persekutuan Sabtu lalu.

Menceritakan detik kejadian itu, Aizuddin berkata, beliau bersama beberapa anggota polis sedang menjalankan tugas pemeriksaan di laluan motosikal di lebuh raya tersebut kira-kira jam 1.20 petang.

Menurutnya, ketika itu beliau sedang memeriksa seorang penunggang motosikal.

"Mungkin penunggang berkenaan panik, dia secara tiba-tiba memecut motosikalnya dan melanggar saya.

"Kaki saya termasuk dalam sprocket (gegancu) motosikal mengakibatkan kasut saya terpelanting. Ketika itu saya rasa kebas dan sedar jari kaki putus apabila saya mengambil kasut. Kasut terkoyak dan saya melihat dalam kasut, dua jari kaki ada dalam kasut itu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis putus dua jari dilanggar penunggang motosikal

Katanya, selepas menyedari kehilangan dua jari kakinya itu, tiada apa yang yang bermain di fikiran melainkan isteri dan anak tercinta.

"Pelbagai perasaan bercampur baur ketika itu, terkejut semua ada, hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Artikel Berkaitan:

Aizuddin menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya.
Aizuddin menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya.

"Walau apapun yang berlaku, saya tetap bersemangat untuk kembali bertugas. Panji Sang Saka Biru sentiasa saya semat di dada dan rela berkorban demi keselamatan masyarakat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan pada Majlis Pemberian Surat Penghargaan yang disampaikan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di Mess Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pengorbanan dan semangat setiap anggota dan pegawai polis yang menjalankan tugas sememangnya amat dihargai.

"Kita akan menyampaikan bantuan daripada kerajaan kepada anggota dan pegawai yang mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas selain insurans koperasi polis.

"Insya-ALLAH dari segi kebajikan sememangnya kita utamakan untuk semua anggota dan pegawai polis di negeri ini," katanya.