MPIA jangka lebih banyak peruntukan kuota untuk industri solar PV

Segmen solar atas bumbung dan ladang solar berskala besar (LSS) industri solar fotovoltan negara semakin berkembang.
Segmen solar atas bumbung dan ladang solar berskala besar (LSS) industri solar fotovoltan negara semakin berkembang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sedang menyaksikan 'pertumbuhan yang sangat positif' dalam segmen solar atas bumbung dan ladang solar berskala besar (LSS) industri solar fotovoltan negara, menurut Persatuan Perusahaan Industri Fotovolta Malaysia (MPIA).

Presiden MPIA, Davis Chong berkata, lebih 2,400 megawatt (MW) projek LSS telah dianugerahkan setakat ini termasuk 823 MW dalam pakej LSS (LSS4) keempat yang disampaikan baru-baru ini.

Pada minggu pertama April, lebih daripada 100 permohonan MW telah dikemukakan oleh sektor komersial dan perindustrian.

"Kami tidak akan terkejut jika kesemua 300 MW yang diperuntukkan untuk sektor komersial dan perindustrian diambil sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini. Kami menantikan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan selepas pengambilan penuh tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Davis berkata, pertumbuhan itu boleh diterjemahkan ke dalam pencapaian terpenting bagi Malaysia daripada segi pencapaian kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Banyak perniagaan kini menggunakan sistem solar fotovoltan (PV) sebagai sebahagian daripada langkah mereka untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan kerana ia memberi mereka penjimatan yang ketara dalam bil tenaga.

"Selain itu, ia sangat positif kepada imej korporat mereka, dengan beberapa syarikat dapat menjual produk atau perkhidmatan mereka pada premium berbanding saingan mereka," katanya.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengumumkan bahawa hampir 4,000 pemasangan pemeteran tenaga bersih (NEM) telah selesai menjelang akhir tahun lepas dan keseluruhan kuota 500 MW NEM di bawah program NEM 2.0 telah diambil sepenuhnya sebelum tarikh akhir 31 Dis 2020.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, tambahan kuota 500 MW telah diumumkan di bawah NEM 3.0.

Permohonan NEM 3.0 untuk sektor kediaman dan kerajaan dibuka mulai 1 Feb manakala permohonan bagi sektor komersial dan perindustrian bermula 1 April.

MPIA dalam kenyataan itu, turut mengumumkan barisan jawatankuasa baharunya untuk penggal 2021-2023 yang dipilih pada mesyuarat agung tahunan persatuan yang ke-14 semasa 31 Mac lalu.

Selain Davis, jawatankuasa itu merangkumi Datuk Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng (naib presiden), Michael Leong (setiausaha), Joe Wong (penolong setiausaha) dan Samuel Soon (bendahari). - Bernama