Putera Harry tiba di UK untuk upacara pemakaman Putera Philip

Putera Harry - Foto Reuters
Putera Harry - Foto Reuters
A
A
A

LONDON - Putera Harry tiba di United Kingdom (UK) untuk menghadiri pemakaman mendiang datuknya, Putera Philip, lapor Sputnik memetik majalah People.

Harry, 36, tiba dari California pada Ahad bagaimanapun isterinya Meghan Markle yang sarat hamil anak kedua tidak turut serta.

Ini pertemuan pertama Putera Harry dengan ahli keluarga diraja Britain sejak temu bual Oprah Winfrey yang menjadi tumpuan umum.

Suami Ratu Elizabeth II itu meninggal dunia pada Jumaat pagi di Windsor Castle pada usia 99 tahun.

Pasangan diraja itu sudah berkahwin selama 73 tahun.

Pemakaman Duke of Edinburgh akan berlangsung di Windsor pada 17 April dan tanpa istiadat pemakaman diraja negara serta penghormatan orang awam.

Menurut Downing Street, peraturan Covid-19 hanya membenarkan 30 orang menghadiri upacara pengebumian pada minggu depan.

Seorang sumber diraja memberitahu The New York Post bahawa Putera Philip ingin menghabiskan hayatnya dengan aman di kediamannya sendiri, bukan di katil hospital - permintaan terakhir yang menjadi kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Menurut media UK, Ratu berada di sisi suaminya ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya, beberapa bulan sebelum ulang tahunnya yang ke-100 pada Jun.

Pada Februari, Duke of Edinburgh dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan jantung dan dibenarkan pulang pertengahan Mac. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Philip meninggal dunia