Said Zahari, teladan patriot tulen

Allahyarham Said Zahari ialah tokoh wartawan ulung, nasionalis tulen dan pejuang kebebasan akhbar. Beliau meninggal dunia pada 12 April 2016 pada usia 88 tahun.
Allahyarham Said Zahari ialah tokoh wartawan ulung, nasionalis tulen dan pejuang kebebasan akhbar. Beliau meninggal dunia pada 12 April 2016 pada usia 88 tahun.
A
A
A

SUDAH lima tahun pemergian tokoh wartawan ulung, nasionalis tulen dan pejuang kebebasan akhbar, Allahyarham Said Zahari yang meninggal dunia pada 12 April 2016.

Pemergian beliau masih amat dirasai bukan hanya oleh kaum keluarganya, tetapi juga oleh kawan seperjuangan, sahabat handai dan mereka daripada generasi baharu yang mendapat ilham daripada semangat juang dan pengorbanan besarnya.

Ketokohan, keberanian dan ketekunan luar biasanya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Namun, masih ada mereka yang bertanya-tanya apakah Said seorang nasionalis tulen.

Riwayat hidup beliau pada zaman yang bergelora jelas menunjukkan siapa sebenarnya Said Zahari dan pengorbanan luar biasanya demi kebebasan akhbar dan pembebasan nasional di rantau Nusantara ini.

Zaman penjajah

Selepas pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Said menjadi wartawan.

Beliau muda sedikit usianya berbanding A Samad Ismail yang telah menjadi editor akhbar pada umur luar biasa muda semasa perang.

Artikel Berkaitan:

Setelah perang, golongan maju, ‘kiri’ atau radikal Melayu dipimpin oleh tokoh-tokoh antipenjajah seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dan Ahmad Boestamam.

Mereka memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau Pekemam yang ditubuhkan pada Oktober 1945 di Ipoh, Perak sebelum UMNO pada Mei 1946.

PKMM mempunyai sayap pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf (API), pimpinan Boestamam serta sayap lain seperti Angkatan Wanita Sedar (Awas), pimpinan Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh, Barisan Tani Se-Malaya (Batas), pimpinan Musa Ahmad, serta Hizbul Muslimin, pimpinan Ustaz Abu Bakar Bakir.

Dari awal lagi, PKMM telah menuntut kemerdekaan. Pusat Tenaga Rakyat (Putera), pimpinan Dr Burhanuddin, telah menyediakan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947.

Ini dicapai bersama All-Malayan Council for Joint Action (AMCJA) yang dipimpin Malayan Democratic Union (MDU) dan dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock.

Ini menandakan titik alih penting dalam gerakan rakyat untuk kemerdekaan.

Pada awal tahun 1948, penjajah British telah menangkap dan menahan lebih 6,000 aktivis muda Melayu, terutamanya anggota API dengan cogan kata ‘Merdeka Dengan Darah’.

Pada masa itu, pimpinan PKM masih mengharapkan ‘perjuangan damai’ setelah memimpin penentangan bersenjata anti-Jepun dengan kerjasama British semasa Perang. Namun, harapan ini berkecai apabila darurat diisytiharkan British pada Jun 1948.

Tuntutan merdeka inilah yang dengan jelas menolak penjajahan British, membezakan arus nasionalis Melayu maju atau progresif ini daripada aliran UMNO pimpinan pembesar Melayu seperti pernah diakui Tun Dr Ismail pada tahun 1973. UMNO terus bekerjasama dengan British dan hanya menuntut kemerdekaan lima tahun kemudian mulai tahun 1951.

Asia bergelora

Perjuangan antiimperialis atau antipenjajah ini disokong kuat oleh pimpinan Utusan Melayu ketika itu.

Pengaruh mereka bukan sekadar melalui akhbar serta majalahnya sahaja, tetapi memberi kesan besar terhadap sastera dan budaya Melayu zaman itu.

Sebahagian besar pimpinan Angkatan Sasterawan 1950 (Asas 50) terdiri daripada penulis Utusan.

Pada tahun 1955, Said dipindah ke Kuala Lumpur untuk mengetuai pejabat Utusan di Kuala Lumpur menjelang merdeka.

Kemudian, beliau dilantik Ketua Pengarang akhbar Utusan.

Banyak perubahan telah berlaku di dunia dalam dasawarsa setelah tamatnya perang.

Di Nusantara, Indonesia telah merdeka dan Presidennya, Sukarno telah menjadi tuan rumah Sidang Asia-Afrika di Bandung pada April 1955.

Vietnam di bawah pimpinan Ho Chi Minh telah mengalahkan tentera Perancis di Dien Bien Phu pada Mac 1954.

India dan Pakistan telah mencapai kemerdekaan lebih awal pada tahun 1947 dan China pula mencapai pembebasan nasional dengan menghalau musuhnya Kuomintang ke pulau Taiwan pada Oktober 1949.

Tunku Abdul Rahman telah mengakui kepada Said bahawa dia tidak mahu perundingan dengan pimpinan PKM di Baling pada 28 hingga 29 Disember 1955 berjaya.

Beliau ingin mengambil alih teraju negara sebelum merdeka tanpa bertolak ansur dengan pihak lain yang telah lebih lama memperjuangkan kemerdekaan.

Dalam kalangan kuasa Barat telah timbul perselisihan. Amerika Syarikat enggan menyokong Britain dan Perancis yang menyokong Israel menyerang dan menawan Terusan Suez di Mesir setelah pimpinan Gamel Abdul Nasser menghakmiliknegarakannya pada tahun 1956.

Apabila CIA Amerika Syarikat menyokong pemberontakan di beberapa pulau di luar Jawa untuk menjatuhkan Sukarno pada 1958, Britain pula enggan menyokongnya secara bersungguh-sungguh.

Kebangkitan rakyat Dunia Ketiga terus meningkat pada zaman itu. Di Afrika, Ghana merdeka pada Mac 1957. Kemudian hampir seluruh Afrika mencapai kemerdekaan, sekurang-kurangnya secara formal, kecuali tanah jajahan Portugis yang hanya berjaya mencapai kemerdekaan pada pertengahan 1970-an.

Di Amerika Latin, Amerika Syarikat telah campur tangan secara langsung ataupun melalui rampasan kuasa tentera untuk memastikan pemerintahnya pro-AS, misalnya di Guatemala, Cuba dan Brazil.

Cadangan menubuhkan Malaysia – untuk merangkumi semua wilayah Asia Tenggara yang dikuasai British – diutarakan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961.

Pada penghujung tahun 1962, Parti Rakyat Brunei, pimpinan A M Azahari, telah menawan 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya dewan perundangan pertama (dan terakhir), tetapi tidak diizin penjajah British untuk membentuk pemerintahan.

Proses pembentukan Malaysia dipercepatkan kerana pihak British, ketua CIA ketika itu, Allen Dulles serta pihak lain khuatir terhadap pimpinan Sukarno di Indonesia.

Sikap Presiden John F Kennedy, yang telah setuju menemui Sukarno pada tahun 1964, dikatakan merupakan salah satu sebab presiden AS itu dibunuh, mungkin oleh CIA.

Tahanan tanpa bicara

Said telah memimpin mogok kakitangan Utusan Melayu selama tiga bulan lebih pada tahun 1961.

Mogok itu bertujuan menentang akhbar itu diambil alih UMNO kerana mempertahankan kebebasan akhbar.

Tindakan luar biasa bertahan bukan hanya sehari, seminggu atau sebulan, tetapi lebih daripada 100 hari!

Setahun lebih setelah dilarang masuk Semenanjung oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Said ditangkap di Singapura, beberapa jam setelah dipilih pada awal Februari 1963 untuk mengambil alih teraju pimpinan Partai Rakyat Singapura.

Sebagai tahanan politik, Said ditahan tanpa bicara selama 17 tahun (1963-1979) kerana enggan berkompromi dengan Lee Kuan Yew.

Di Semenanjung pula, pimpinan Fron Sosialis - yang merangkumi Pak Sako, pengerusi Parti Buruh, Ahmad Boestamam, ketua Parti Rakyat Malaya, serta Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian dan Koperasi UMNO yang mengetuai Parti Perhimpunan Nasional – serta Presiden Partai Islam Se-Malaya (Pas), Dr Burhanuddin Al-Helmy, ditahan tanpa bicara bersama ribuan aktivis lain, kononnya kerana ‘anti-Malaysia’ atau dituduh menyokong komunis.

Perjuangan Said memberi erti yang cukup besar kepada kita rakyat Malaysia, malah di seluruh Nusantara.

Bak katanya, kita harus belajar dari sejarah; kalau tidak, kita akan jadi mangsa sejarah.

Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat-Nya terhadap roh Allahyarham Said Zahari.

*Dr Jomo Kwame Sundaram ialah ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan semasa zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad